Selepas 54 tahun, BSLNPP anjur pameran taksidermi mergastua

Admin
KETUA Menteri (depan, kiri) diiringi isteri, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee (depan, kanan) turut meluangkan masa menyaksikan pameran taksidermi di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) di sini 28 Januari 2023.

GEORGE TOWN – Pameran berkaitan hasil seni atau kaedah mengawet binatang dan burung telah mati secara semulajadi sehingga ia kelihatan seolah-olah masih hidup dianjurkan sekali lagi selepas 54 tahun di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP).

Pameran taksidermi Mergastua dengan tema kombinasi seni dan sains itu dianjurkan bermula pada 9 Januari hingga 16 Mac 2023, mulai 9 pagi hingga 5 petang di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa menyampaikan ucapan perasmian antara lain berkata bahawa pihaknya berharap Pameran Taksidermi Mergastua tersebut akan menjadi perintis serta pelopor kepada pihak muzium untuk mengadakan pameran seumpama itu pada masa akan datang.

“Saya berharap agar pameran ini dapat menjadi pelopor atau perintis kepada muzium dan balai seni ini untuk terus melipat gandakan usaha agar pameran-pameran sebegini akan diteruskan pada masa-masa yang akan datang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di bangunan Dewan Seri Pinang pada 28 Januari 2023.

YEOH Soon Hin (tiga dari kiri) diiringi Haryany Mohamad (kanan sekali) dan seorang individu lain menyampaikan cenderamata tanda kenang-kenangan kepada Ketua Menteri dalam majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut berharap pameran taksidermi tersebut turut mampu menarik penyertaan dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang juga mempunyai ‘Penang Women’ iaitu rangka manusia berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan oleh ahli arkeologi di tapak penyelidikan Guar Kepah, Kepala Batas pada 19 April 2017.

Mengulas lanjut, beliau berharap ‘Penang Women’ dikonservasi di negara Belanda dan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin sedang berusaha membawa pulang rangka manusia purba itu ke negeri Pulau Pinang.

“Saudara Yeoh Soon Hin sedang berusaha untuk suatu visi yang penting (iaitu) perbincangan untuk membawa balik rangka ‘Penang Women’ berusia lebih dari 5,000 tahun, dari negara Belanda,” ujarnya.

Selain Soon Hin, Pengarah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad turut berucap pada majlis perasmian pameran taksidermi mergastua tersebut.

Pelakon, pelawak, pengacara, penyanyi dan kartunis lagenda, A. Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda merupakan antara yang hadir mengikuti acara perasmian pembukaan pameran tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD