Selesai isu air ikut undang-undang bukan keluar kenyataan menyakitkan hati – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk menyelesaikan isu hak riparian sumber air mentah mengikut lunas undang-undang dan bukannya melalui kenyataan yang menyakitkan hati pelbagai pihak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan perkara itu semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees pada Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama ADUN Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

“Dari segi prinsipnya kita (Kerajaan Negeri) mahu menghayati undang-undang dalam kes ini dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang menyakit hati.

“(Dan) dalam isu ini memang prinsip dan pegangan kita adalah ‘when they go low, we go high’,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memainkan peranan untuk memastikan hak riparian Pulau Pinang tidak terjejas dengan projek yang bakal dilaksanakan di Kedah.

“Kerajaan Persekutuan perlu memastikan apa-apa projek yang dilaksanakan di Kedah tidak akan menjejaskan hak riparian Pulau Pinang untuk mendapatkan air bersih bagi kegunaan rakyat di negeri ini,” serunya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai syarikat pengendali air terunggul di negara ini sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana negeri yang berdepan masalah air termasuk negeri Kedah.

“Saya telah terima surat ucapan terima kasih daripada Menteri Besar Pahang selepas PBAPP menghantar petugas dan tangki-tangki air untuk membantu mangsa banjir di sana baru-baru ini.

“Di negeri Kedah juga sama, jika berlaku keadaan kecemasan, PBAPP sememangnya akan membantu termasuk kali ini dengan menghantar pasukan petugas dan tangka air untuk membantu rakyat di sana,” jelas Kon Yeow.

Semalam, PBAPP dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan paip kecemasan dan pengagihan bekalan air di Kedah selepas menerima permohonan daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membentangkan draf Penang Land Rules (PLR) 2021 pada 6 Januari lalu bagi menggantikan pemakaian PLR 2005.

Menurut beliau, pelaksanaan PLR 2021 adalah bagi mengemaskini pentadbiran tanah sedia ada dan sebagai refleksi kepada perubahan semasa berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN) dan pembangunan yang berlaku di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, pada masa ini, PLR 2021 masih belum diwartakan dan akan diwartakan dalam tempoh terdekat manakala penguatkuasaan pula adalah pada satu tarikh yang dimaklumkan dalam warta kelak,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga sedang mencari satu makanisme baru yang lebih telus sebagai faktor untuk menambah baik sektor perindustrian ke tahap lebih tinggi.

“Buat masa ini, semua permohonan yang diluluskan akan dilanjutkan kepada 60 tahun dan tiada sebarang garis panduan ata kawalan terhadap semua permohonan lanjutan menyebabkan para pelabur tidak mempunyai maklumat jelas berhubung perkara ini.

“Oleh itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diminta untuk mengkaji kaedah penetapan premium lebih telus dengan kadar insentif yang boleh diberikan ke atas tanah-tanah industri dengan pajakan selama 60 tahun dan akan tamat pajakan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi,” jelasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS/ MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN