Semangat pemilikan bersama pastikan Kompleks Jalan Kedah terus terjaga – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru komuniti di Kompleks Jalan Kedah agar mempunyai semangat pemilikan bersama agar ianya terus terjaga.

Menurutnya, apabila komuniti lebih bertanggungjawab terhadap kompleks itu, ia secara langsung menyemai sifat sayang kepada ‘kampung halaman’ sendiri.

“Kampung halaman ini adalah syurga bagi kita, kalau kita tidak jaga, maka keadaan kebersihan tidak akan terjamin, kedudukan keselamatan pun tercabar dengan kes-kes jenayah kecil.

“Ini memang selalu saya tekankan dalam majlis (Jawatankusa Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah) bahawa rumah atau halaman ini adalah tanggungjawab kita… daripada segi kebersihan, keselamatan dan jalinan hubungan antara kaum untuk mewujudkan suasana harmoni, itulah tanggungjawab penduduk dan tidak seharusnya hanya bergantung kepada jawatankuasa penduduk atau wakil rakyat semata-mata,” ucap beliau pada Majlis Rumah Terbuka Hari Deepavali Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah di sini tadi.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Mydin dan penduduk-penduduk Kompleks Jalan Kedah.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut meninjau pengoperasian semula lif nombor tiga kompleks berkenaan yang baru sahaja dibaik pulih dengan  perbelanjaan RM25,500.

Beliau dalam pada itu turut memuji inisiatif Jawatankuasa Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah yang tidak putus-putus meraikan perayaan pelbagai kaum dengan harmoni.

“Sejak saya jadi wakil rakyat, kawasan ini tidak pernah putus menganjurkan pelbagai majlis keraian menyambut Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan kadang-kala Hari Natal.

“Ini adalah satu tauladan baik yang mungkin persatuan penduduk di kawasan lain dapat bersama-sama berbuat demikian,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD