Sematkan semangat patriotik dalam jiwa generasi pewaris demi Malaysia yang harmoni, saran ADUN

Admin

JAWI – Sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Nibong Tebal meriah apabila lebih 400 murid taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) berkaitan sertai program perarakan mini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, selain dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa kanak-kanak, acara tersebut juga menjadi platform untuk mereka menghayati erti kemerdekaan.

“Sebagai generasi pewaris masa hadapan negara ini, semangat patriotik penting disematkan sejak kecil agar mereka membesar dan menjadi warganegara yang bukan sahaja taat setia, tetapi juga sayangkan negara.

“(Dan) melalui pendekatan seperti ini, saya yakin ia akan melatih jiwa anak-anak ini agar mempunyai jati diri dan sahsiah yang teguh dan (sekaligus) memastikan Malaysia kekal harmoni pada masa hadapan,” ujarnya.

Mooi Lye berkata demikian ketika ditemui sejurus hadir merasmikan sambutan berkaitan di padang Sekolah Kebangsaan Jawi dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Kemas Daerah Seberang Perai Selatan, Ramlan Ishak; Penyelia Kanan Kemas bagi Parlimen Nibong Tebal, Ramlan Yahaya dan Penyelia Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Rahimah Halim.

Antara gelagat si cilik yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, Mooi Lye berharap program seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa hadapan.

“Hal ini kerana, saya teruja dengan semangat yang ditonjolkan oleh murid-murid ini yang benar-benar menjiwai semangat merdeka, lagipun saya yakin program ini dapat memupuk jiwa mereka ke arah perpaduan,” katanya.

Selain murid-murid tadika dan taska Kemas, guru-guru serta ibu bapa yang hadir juga ‘sporting’ apabila mereka turut menggayakan pelbagai busana bercirikan Malaysia.

Malah, perarakan turut gamat dengan keletah dan gelagat si cilik yang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN