Sempena Deepavali, Ketua Menteri ikrar iltizam tiada mana-mana pihak di Pulau Pinang terpinggir

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri turut mengambil kesempatan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menyertai Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Kerajaan Negeri di sini pada 18 November 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini akan terus memperkasakan peranan setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat India baik dari segi politik, sosial mahupun ekonomi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut adalah demi memastikan tiada pihak yang tercicir atau tersisih daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk maju bersama bagi mencapai gagasan Visi Penang2030.

“Seperti yang telah saya ungkapkan dalam perutusan sambutan Deepavali pada 10 November lalu, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui bajet tahunan sejak dari tahun 2009.

“Di bawah kerangka Visi Penang2030 juga, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun untuk Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan sebarang projek atau program khas merangkumi pelbagai aspek pendidikan, infrastruktur dan juga perubatan khas kepada masyarakat India di negeri ini,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di sini pada 18 November 2023.

KETUA Menteri

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, pihaknya melalui HEB pada 15 Oktober lepas turut menyerahkan insiatif dalam bentuk biasiswa pendidikan secara sekali beri kepada 264 pelajar keturunan India.

“Semoga inisiatif-inisiatif yang telah diberikan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat India secara keseluruhannya,” ujarnya yang juga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri menyatakan bahawa penganjuran pada hari ini bertambah seri dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT) , Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puah Khadijah Mohd. Nor.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Rasmi Kerajaan Negeri; barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS