Sempena ‘pesta cahaya’ Deepavali, terus semarak keharmonian rakyat berbilang kaum – Kon Yeow

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (kiri) menyantuni kanak-kanak yang hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dilangsungkan di Aspen Vision City, Batu Kawan di sini pada 13 November 2022.

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri kembali menganjurkan Rumah Terbuka Deepavali selepas kira-kira dua tahun tidak diadakan perayaan peringkat negeri seumpama itu di Pulau Pinang ekoran pandemik COVID-19.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kepemimpinan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Khadijah Mohd. Nor dapat terus memimpin usaha mengukuhkan pemahaman, keharmonian serta rasa saling hormat dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini.

“Inilah saat yang dinanti-nantikan oleh semua, khususnya rakan-rakan kita yang beragama Hindu dan Sikh.

“Saya percaya kegembiraan ini turut dikongsi dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum serta agama, sekaligus menyumbang kepada keutuhan dan keamanan yang dikecapi kini.

“Setiap daripada kita mempunyai peranan besar untuk memanfaatkan peluang yang ada untuk meraikan perbezaan ini dengan sebaiknya dan mengukuhkan permahaman dan rasa hormat antara satu sama lain

“Sesungguhnya kehadiran TYT, isteri dan sekalian dif jemputan adalah amat bermakna sebagai cerminan untuk sebuah kekuatan perpaduan serta keharmonian negeri yang tercinta ini,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi semasa berucap pada majlis berkaitan yang dilangsungkan di Aspen Vision City, Batu Kawan dekat sini pada 13 November 2022.

HADIRIN yang menyertai Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini tadi.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa induk penganjuran majlis yang terdiri daripada Pejabat Timbalan Ketua Menteri II dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut komited mewujudkan pelbagai inisiatif dan insentif demi memperkasakan lagi komuniti India di negeri ini.

“Pelbagai program dan projek khas dirangka bagi memastikan komuniti India di negeri ini bergerak seiringan dalam merealisasikan serta mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 iaitu sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memberitahu bahawa pentadbirannya di Pulau Pinang turut komited menjayakan agenda perumahan mengikut keperluan rakyat termasuk komuniti India.

“(Agenda perumahan) ini, termasuk tekad Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan kediaman yang kondusif kepada penduduk Ladang Kalidonia setelah lebih 30 tahun mereka memperjuangkan sebuah kehidupan yang kondusif dan berkualiti khasnya bersama-sama keluarga tersayang. Lazimnya, ia merupakan ‘hadiah’ yang paling bermakna kepada penduduk Ladang Kalidonia bersempena sambutan Deepavali tahun ini,” ulasnya.

P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang, dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Mohaini Mohd. Saffar; P. Kalaiarasi (isteri Ramasamy), Pegawai Kewangan Negeri, Zabida Safar dan suami, Shafee Yusoff.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI