Sempena sambutan Hari Kebangsaan, semua diseru agar terus ‘prihatin’

Admin

PADANG LALANG – Dalam skala kecil, lima acara sambutan hari kemerdekaan dan kempen kibarkan Jalur Gemilang dianjurkan secara serentak pada pagi ini.

Ini meliputi di Rumah Pangsa Desa Wawasan; Rumah Pangsa Kampung Melayu; Rumah Pangsa Taman Free School; Rumah Pangsa Taman Tun Dr Awang dan Rumah Pangsa Taman Free School dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju membatalkan penganjuran sambutan hari kebangsaan peringkat negeri, tetapi masih menggalakkan penganjuran program berskala kecil di peringkat komuniti lokal.

“Dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, saya merayu kepada semua agar terus prihatin dengan apa yang berlaku di persekitaran terutama ketika kita (penduduk Pulau Pinang) semua masih dibelenggu virus COVID-19.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memastikan kebajikan dan kelangsungan rakyat terus diberi perhatian serta pertimbangan utama.

“Tiga Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dengan setiap satu berjumlah RM75 juta, RM76 juta dan yang terkini berjumlah RM4.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM155.5 juta diberikan khusus untuk golongan yang terkesan (dek pandemik COVID-19),” jelasnya dalam acara sambutan di Rumah Pangsa Desa Wawasan di sini pada 29 Ogos 2020.

Turut berucap, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Kheong.

Hadir sama, ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kamarul Haizal Koderat; Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritenden Mohd. Mustafa Bidin dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ir. Rosnani Mahmod.

Kira-kira 250 penduduk tempatan dalam kalangan kaum ibu dan kanak-kanak turut menyertai acara berskala kecil di sini.

Dalam pada itu, Jagdeep ketika berucap meminta semua pihak meningkatkan lagi amalan 4P iaitu pakai pelitup mulut, penjarakan fizikal, pencucian tangan dengan sabun dan perhatikan gejala COVID-19 memandangkan Perdana Menteri semalam mengumumkan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020.

“Berdasarkan pendapat pakar, kes (positif COVID-19) masih berlaku…PKPP terpaksa dilanjutkan sehingga hujung tahun.

“Keutamaan kita (Kerajaan Negeri) sekarang adalah keselamatan serta kesihatan awam.

“Jadi, kita (kedua-dua pihak berkuasa tempatan, PBT) tidak akan kompromi, jika ada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, tindakan akan diambil,” tegasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan hadiah kepada barisan pemenang pertandingan mewarna anjuran pentadbir Tadika Perpaduan Desa Wawasan.

Kemuncak sambutan pagi tadi adalah acara nyanyian lagu Negaraku dan Untuk Negeri kita dengan menaikkan Jalur Gemilang serta bendera Pulau Pinang, disusuli laungan Merdeka sebanyak tiga kali.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING