Semua Exco, agensi kerajaan diarah tingkat pemantauan pelaksanaan projek negeri – Ketua Menteri

Admin
img 20260530 wa0052

PULAU BETONG – Semua Exco Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan mempertingkatkan pemantauan terhadap pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah tersebut penting bagi memastikan semua projek yang sedang dan bakal dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan rakyat terbanyak.

“Susulan program Jelajah Ketua Menteri dan laporan media, saya akan mengarahkan semua Exco dan agensi kerajaan termasuk kedua-dua Majlis Bandaraya untuk mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan projek sama ada projek sakit atau tertangguh.

“Semua Exco dan agensi kerajaan perlu membuat pemantauan rapi untuk memastikan pencapaian kerja adalah mengikut jadual, kerana kita dapati pelbagai unsur atau faktor boleh mempengaruhi perjalanan dan pelaksanaan sesuatu projek,” katanya.

img 20260530 wa0055img 20260530 wa0047img 20260530 wa0037img 20260530 wa0051img 20260530 wa0040

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Jelajah Ketua Menteri ke Pasar Awam Balik Pulau di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa memasuki separuh kedua penggal pentadbiran, fokus utama Kerajaan Negeri adalah memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut perancangan demi kepentingan rakyat.

“Rakyat sentiasa memantau perkembangan projek-projek kerajaan, dan tidak akan teragak-agak menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya berlaku kelewatan atau projek sakit.

“Justeru, semua Exco perlu memimpin jabatan masing-masing untuk memastikan pemantauan dan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap projek yang dirancang perlu dilaksanakan mengikut perancangan asal kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membantu menyelesaikan isu-isu setempat serta memperkukuh daya saing negeri.

Tambah Kon Yeow, aspek ketahanan negeri dalam menghadapi perubahan iklim juga perlu diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek-projek pembangunan yang terancang dan berkesan.

Sehubungan itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Exco akan datang sebagai peringatan kepada semua barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana.

Menyentuh cabaran pelaksanaan projek, beliau memberitahu bahawa antara isu yang sering menjejaskan kelancaran sesuatu projek ialah faktor teknikal termasuk kajian yang tidak menyeluruh dan isu berkaitan utiliti.

Bagaimanapun, Kon Yeow menegaskan bahawa perkara tersebut bukan sesuatu yang membimbangkan, sebaliknya perlu ditangani secara proaktif supaya rakyat dapat melihat kemajuan projek yang dirancang.

“Sebagai contoh, projek Jalan Berkembar Bukit Kukus yang melibatkan beberapa komponen pelaksanaan di bawah tanggungjawab pihak berbeza.

“Mungkin sesetengah pihak masih tidak tahu bahawa bahagian jalan yang perlu dibina oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah siap sepenuhnya beberapa tahun lalu, dan kini memberi manfaat kepada penduduk Balik Pulau.

“Namun, terdapat dua bahagian pembinaan jalan yang berada di bawah tanggungjawab pemaju kerana laluan tersebut berada dalam tanah milik mereka.

“Pemaju berkaitan telah disyaratkan supaya menyiapkan jalan tersebut bersama pembangunan yang dicadangkan seperti mana termaktub dalam pelan pembangunan mereka,” jelasnya lagi.

img 20260530 wa0024img 20260530 wa0053img 20260530 wa0039

Beliau berkata, pemaju lazimnya akan melaksanakan pembinaan berdasarkan pencapaian projek masing-masing termasuk keperluan menyiapkan projek perumahan terlebih dahulu bagi menjana modal untuk pembinaan infrastruktur yang menelan kos tinggi.

“Namun begitu, semua syarat dalam Pelan Kebenaran Merancang termasuk pembinaan jalan, rumah mampu milik dan pasar awam perlu dipenuhi sebelum Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” ulasnya.

Sementara itu, Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan bagi sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebanyak RM10 bilion menjadikan keseluruhan dana kini berjumlah RM60 bilion berbanding RM50 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Beliau memberitahu bahawa jumlah institusi kewangan yang terlibat dalam penyaluran pembiayaan itu turut meningkat daripada 18 kepada 20 bank.

Menurut beliau, usahawan serta peniaga PMKS yang berminat boleh melayari laman web Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan senarai bank yang mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

“Pembiayaan ini ditawarkan dalam dua bentuk iaitu pembiayaan konvensional dan pembiayaan patuh syariah.

“Jadi peniaga boleh memilih jenis pembiayaan yang dirasakan sesuai dengan perniagaan masing-masing.

“Selain itu, usahawan juga boleh terus berhubung dengan institusi kewangan yang terlibat untuk mendapatkan penerangan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Chee Keong menyatakan bahawa pembiayaan khas tersebut menawarkan dana sehingga RM750,000 dengan kadar faedah rendah iaitu 3.75 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan selama lima tahun.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan selain membantu peniaga dan usahawan PMKS terus kekal berdaya saing.

Dalam perkembangan sama, Chee Keong memaklumkan bahawa sehingga April tahun ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4 bilion kepada lebih 150,000 usahawan di seluruh negara.

“Jumlah ini hanya meliputi peruntukan KUSKOP dan tidak termasuk RM5 bilion peruntukan khas yang diumumkan sebelum ini,” jelasnya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan penyaluran peruntukan RM10 bilion bagi membantu PMKS menstabilkan kedudukan kewangan susulan tekanan kos operasi serta gangguan rantaian bekalan global.

Inisiatif tersebut merangkumi dua komponen utama iaitu RM5 bilion kemudahan khas di bawah Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS