Semua peniaga dan penjaja Pasar Awam Jelutong perlu jalani ujian saringan

Admin

BATU LANCANG – Seramai 278 peniaga dan penjaja di Pasar Awam Jelutong perlu menjalani ujian saringan serta menyerahkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibenarkan berniaga semula.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa arahan tersebut dikeluarkan berikutan empat peniaga di pasar awam berkenaan telah disahkan positif COVID-19.

“Pasar Awam Jelutong diarah tutup melalui notis penutupan premis oleh KKM mengikut protokol dan prosedur mulai 17 Mei 2021 sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Justeru, semua peniaga dan penjaja perlu menjalani ujian saringan bagi mengenal pasti keadaan dan menyerahkan keputusan ujian tersebut kepada pihak KKM untuk mereka membuat keputusan sama ada pasar awam ini boleh buka semula atau tidak,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Jagdeep Singh Deo bersama-sama ADUN-ADUN berkaitan dan Ar. Yew Tung Seang ketika mengadakan sidang media dekat Pasar Awam Jelutong, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pengkalan Kota, Daneil Gooi Zi Sen; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Menurut Jagdeep, Pasar Awam Jelutong merupakan pasar kedua yang telah diarahkan tutup dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 selepas Pasar Awam Bagan Ajam dekat Butterworth.

“(Dan) sejak 18 Mac 2020 pula, lebih 1,600 premis termasuk restoran, tapak penjaja, tapak pembinaan dan pasar awam telah diarahkan tutup oleh pelbagai agensi kerajaan seperti MBPP, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lain-lain.

“Ini menunjukkan bahawa kita (Kerajaan Negeri) tidak memandang ringan terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan kelematan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

“Selain itu, saya sendiri telah mengarah kedua-dua Datuk Bandar (MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP.

“Malah, semua wakil rakyat kita juga akan meneruskan usaha untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 melalui pemantauan dan sebagainya,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Tung Seang dilaporkan berkata bahawa penutupan Pasar Awam Jelutong dibuat bagi melakukan kerja-kerja sanitasi dan beberapa tindakan yang perlu untuk mengekang penularan COVID-19.

“Penutupan ini melibatkan 60 gerai dalam pasar,186 gerai tapak penjaja sementara Jalan Penaga/Lorong Ipoh dan 32 penjaja statik yang berniaga pada waktu petang dan malam di kawasan sama termasuk Lorong Batu.

“Kita akan umumkan tarikh pasar awam ini dibuka semula kepada orang ramai,” katanya pada sidang media pada 17 Mei lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep menafikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak mempolitikkan isu COVID-19 sebagaimana didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya kata beliau, Kerajaan Negeri sedia menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan untuk membantu mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi di negeri ini.

“Sekiranya bekalan (vaksin) sampai, kita sudah bersedia dengan doktor dan tenaga pakar daripada pihak swasta serta lain-lain agensi untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

“Justeru, saya minta agar menteri berkaitan supaya mempercepatkan pembekalan vaksin jika beliau benar-benar tidak mahu isu ini dipolitikkan,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD