Semua persatuan wanita perlu bekerjasama bagi perkasakan golongan wanita Pulau Pinang, titah Permaisuri Agong

TANJUNG BUNGA – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah supaya semua persatuan wanita di Pulau Pinang menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan lagi peranan golongan berkaitan di negeri ini.

Jalinan kerjasama itu, titah Permaisuri Agong, bakal memberi manfaat kepada golongan wanita terutamanya bagi yang kurang berkemampuan dalam mempertahankan hak-hak mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya difahamkan di Pulau Pinang begitu banyak persatuan-persatuan wanita seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pandu Puteri, PUSPANITA (Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia) serta lain-lain lagi.

Tunku Azizah menunjukkan kemahiran memasak kuih loyang istimewa.

“Di sini, adalah diseru supaya semua persatuan wanita bekerjasama dan mencari kesepakatan melalui penganjuran aktiviti-aktiviti bersama untuk memperkasa serta mempertahankan hak-hak wanita.

“Contohnya, melalui Persatuan Pandu Puteri, kerana saya sudah lama bersama persatuan ini, banyak perkara kita telah buat untuk memperkasakan anak-anak muda daripada golongan wanita untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Kita latih mereka bagaimana untuk berjuang dan mempertahankan hak-hak mereka khususnya dalam dunia moden dan berteknologi kini,” titah baginda ketika pada Majlis Santapan Tengah Hari Raja Permaisuri Agong Bersama-sama Kepimpinan Wanita Pulau Pinang di sini.

Keberangkatan tiba Baginda Permaisuri Agong pada jam 1.30 tengah hari tadi disambut oleh isteri Yang di-Pertua Negeri (TYT), Toh Puan Majimor Shariff dan isteri kepada YAB Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee; Datin Teoh Hooi Tuang (isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, DUN); K. Kalaiarasi (isteri kepada Timbalan Ketua Menteri II) dan Exco Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Bergambar bersama-sama kanak-kanak yang membuat persembahan pada majlis santapan tengah hari Baginda Permaisuri Agong dengan kepimpinan wanita Negeri Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

 

 

Turut hadir, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Pulau Pinang, Datin Arida Abdul Razak; Datin Dashela Ramli, (isteri kepada Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang; Dato’ Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri) serta barisan kepimpinan wanita Pulau Pinang.

Tunku Azizah sebelum itu turut berkongsi pengalaman baginda semasa beberapa kali berada di negeri ini untuk menyiapkan buku masakan yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

“Setiap kali datang, saya tinggal di Hotel G kerana saya suka makan di Gurney Drive. Saya akan turun sendirian untuk makan durian, laksa Penang, laksa asam, rojak, pasembor, sotong bakar dan rojak buah, manakala pada siang hari saya makan nasi kukus dari Restoran Minah,” titah baginda sambil menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Sementara itu, Lean Kee dalam ucapannya sebelum itu memberitahu bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama dan satu-satunya negeri yang mengguna pakai Dasar Keterangkuman Gender dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Pulau sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan kepimpinan dalam kalangan golongan wanita supaya mereka dapat memberi perkhidmatan yang lebih luas untuk komuniti.

“Selain daripada sokongan 5,197 ahli PUSPANITA untuk cawangan negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) pada Januari lalu.

“Dengan pembentukan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 15 wanita di setiap Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) untuk merancang serta melaksanakan program pemerkasaan wanita dan keluarga, patik pasti kesejahteraan keluarga serta masyarakat di negeri ini boleh tercapai,” ujar beliau.

Pada majlis itu juga, Tunku Azizah yang sememangnya terkenal dengan hobi memasak berkenan menunjukkan kepakaran dan kelincahan baginda menyediakan tiga juadah istimewa iaitu laksa, dangai dan kuih Loyang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD