Semua pihak diseru titik beratkan keselamatan rantaian makanan, jangan ambil lewa

Admin
BUKIT TAMBUN – Semua pihak diseru agar menitik beratkan jaminan keselamatan rantaian makanan dalam memastikan kesejahteraan pengguna.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, keselamatan makanan merupakan salah satu komponen penting yang sering diambil lewa oleh masyarakat.
“Sesetengah masyarakat sekarang kurang menitikberat isu keselamatan makanan selagi mereka atau keluarga tidak mengalami gejala keracunan makanan seperti muntah dan cirit-birit.
“Jangan ambil lewa, pelbagai punca pencemaran perlu dikawal dengan sebaik mungkin di setiap peringkat rantaian makanan bermula daripada bahan mentah sehinggalah ke hidangan makanan,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Sambutan World Food Safety Day Peringkat Negeri Pulau Pinang di Design Village, Batu Kawan sebentar tadi.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin; Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr Rozali  Hj. Mohamud dan Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan, Dr Shazlin Umar.
Menurut Afif, sektor kerajaan, swasta, individu dan juga pengguna seharusnya mengambil berat akan soal keselamatan makanan.
“Kita sebagai pengguna mempunyai kuasa untuk memacu perubahan kerana pengguna merupakan titik akhir dalam rantaian makanan.
“Pengguna juga haruslah memainkan peranan penting sebagai pemberi maklumat kepada pihak berkuasa.
“Jika mempunyai maklumat mengenai produk atau premis makanan yang tidak bersih segeralah membuat aduan melalui medium-medium yang telah disediakan seperti laman sesawang ataupun terus ke  jabatan berkaitan.
“Namun, sebagai pengguna anda perlu bijak dan membuat rujukan sebelum menyebarkan atau berkongsi sesuatu maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
Oleh : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN
Gambar : ADUN