Semua pihak perlu mainkan peranan perkukuh perpaduan demi kelangsungan kemajuan negeri – Ketua Menteri

Admin

BAGAN DALAM – Semua pihak di negeri ini perlu memainkan peranan dalam usaha memperkukuhkan semangat perpaduan demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus memberi pembelaan sewajarnya kepada semua golongan di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama serta latar belakang.

Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff turut hadir menyerikan majlis.

 

 

 

 

 

 

“Kerajaan Negeri bertuah kerana mempunyai wakil-wakil berkaliber bukan hanya daripada pihak kepimpinan, malah juga daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang begitu komited dalam mewakili suara setiap rakyat di negeri ini agar segala kebajikan serta permintaan didengari oleh kepimpinan sedia ada.

“Justeru, di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) di atas segala komitmen yang diberikan untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini termasuk daripada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan serta pembangunan,” ucapnya pada majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2019 sebentar tadi.

Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan tetamu kehormat pada acara yang berlangsung dekat Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini.

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian kebudayaan masyarakat India.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-Ahli Parlimen (MP); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta ketua-ketua jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dengan semangat iltizam dan kekuatan yang ditunjukkan warganya, Pulau Pinang mampu mencipta lebih banyak kejayaan demi masa depan generasi akan datang.

“Segala perancangan yang dirangka oleh Kerajaan Negeri hanya dapat dilaksanakan sekiranya setiap daripada kita mengambil tanggungjawab berasaskan prinsip keadilan, demokrasi serta toleransi,” jelasnya.

Tetamu menikmati pelbagai juadah enak tradisi masyarakat India.

Dalam pada itu, Ramasamy dalam ucapannya sebelum itu menyeru kepada komuniti India untuk memperbaharui azam demi kesejahteraan secara keluarga serta masyarakat.

“Masyarakat India juga harus peka kepada perkembangan teknologi terkini selain perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran, teknikal dan sebagainya dalam memenuhi permintaan industri hari ini,” katanya.

Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisi masyarakat India, para tetamu juga turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian serta tarian oleh artis-artis daripada Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD