Semua projek awam, swasta perlu rujuk PMC – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Semua agensi negeri dan swasta termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan sesuatu projek perlu merujuk kepada jawatankuasa khas pemantauan projek atau Project Monitoring Committee (PMC) yang diketuai Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, jawatankuasa khas tersebut berperanan memantau perkembangan pelaksanaan projek-projek bagi memastikan semua perancangan projek dapat disempurnakan mengikut jadual.

“Di Pulau Pinang, sekiranya sesuatu projek tidak siap atau lewat disiapkan mengikut jadual, ia bukan salah pemaju terbabit, tetapi kesalahan diletakkan kepada Chow Kon Yeow ataupun Ketua Menteri, Saudara Lim Guan Eng.

“(Dan) situasi (kelewatan siapkan projek) ini berlaku sejak dahulu lagi…dan Kerajaan Negeri sedar bahawa suatu jawatankuasa khas perlu diwujudkan.

“Jadi mana-mana agensi termasuk agensi awam mahupun swasta perlu melaporkan perkembangan semasa projek masing-masing termasuk memperoleh Perakuan dan Lanjutan Masa (EOT) kepada PMC di bawah Lim Hock Seng yang bermesyuarat dua bulan sekali,” ujarnya pada sesi lawatan tapak ke projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran dekat hilir Sungai Pinang di sini baru-baru ini.

Tambah Kon Yeow, pemaju atau pemunya projek dalam keadaan tertentu memerlukan pelanjutan masa, mereka dikehendaki memohon dan menjelaskan kepada PMC sebab kelewatan tersebut.

“Sebarang kelewatan dalam sebarang projek perlu dilaporkan dan diteliti dengan terperinci punca sebenar (yang menyebabkan kelewatan).

“Selalunya, pemindahan utiliti menjadi punca utama kelewatan sesuatu projek yang dirancang itu lewat siap dari yang dijadualkan.

“(Dan) proses ini (merujuk dan melaporkan kepada PMC) adalah bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan siap mengikut jadual termasuk kerja-kerja awal dan pemindahan utiliti,” jelasnya kepada pemberita.