Senantiasa cekap dan tidak bersikap sambil lewa berurusan masalah rakyat, Kerajaan Negeri terus tingkatkan kualiti tadbir urus

Admin

PADANG LALANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sudah masuk penggal ketiga pemerintahan akan terus meningkatkan kualiti tadbir urus supaya benar-benar dirasai oleh rakyat teramai di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang berkata, pentadbiran mengambil perhatian serius terhadap peringatan yang diucapkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kebangsaan.

“Kita menyambut baik peringatan daripada Setiauaha Agung (DAP kebangsaan) Saudara Lim Guan Eng kepada kita semua bahawa kita perlu senantiasa cekap untuk mengekalkan sokongan rakyat serta tidak mengamalkan sikap sambil lewa apabila berurusan dengan masalah rakyat.

“Maka, kita perlu menjanjikan (kualiti hidup rakyat yang lebih bagus) melalui visi Penang2030, menjadi dasar yang akan memimpin kita di seluruh (peringkat jentera) Kerajaan dan jentera parti Pakatan Harapan,“ jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DAP Pulau Pinang di Dewan Ng Yam Huat dekat sini pada 15 Jun 2019.

Sebelum itu, Guan Eng berkali-kali berkata “jangan main-main”, ucapan popular oleh mendiang Karpal Singh.

Tegasnya, walaupun DAP telah kekal menguasai Kerajaan Pulau Pinang sejak tahun 2008, rekod kejayaan itu bukanlah jaminan bahawa Pakatan Harapan akan kekal disokong oleh rakyat teramai pada pilihan raya umum akan datang, andai tidak memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu dan berintegriti.

Selain Guan Eng, turut berucap, Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkukan Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dan Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam).

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco-exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, barisan ADUN dan Ahli Parlimen turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang, Mohd Taufek Abd Rahman; Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri, Sim Tze Tzin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Azahari Aris.

Boria Pulau Pinang antara persembahan pentas menarik, sebagai menyambut serta menghargai ribuan tetamu pelbagai kaum yang hadir di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR SYAFIQAH ZAINUDI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD