Senarai 11 pemenang peraduan anjuran Buletin Mutiara dimuktamad

Admin

GEORGE TOWN – Senarai 11 orang pemenang bagi enam pertandingan yang dianjurkan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara telah dimuktamadkan semalam (16 November 2023).

Dua pertandingan tersebut adalah Bakat Si Cilik Mewarna dan pertandingan melukis poster bertemakan suasana ‘Hari Buletin 2.0’.

Pemilihan akhir para pemenang bagi semua kategori tersebut disempurnakan oleh barisan hakim yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Bahagian Kerajaan Tempatan, R. Surentharan dan Pereka Unit Komunikasi Korporat & Inovasi (UKKI), Muhammad Akiff Azraei Nasri.

JOSHUA Woo Sze Zeng.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Sze Zeng menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara dan berharap penganjuran peraduan berkaitan dapat mencungkil kemahiran serta bakat para peserta dalam pelbagai kategori.

“Diharapkan sidang redaksi Buletin Mutiara akan terus menganjurkan pelbagai pertandingan dan menjalankan lebih banyak aktiviti menarik bagi menghargai bakat kanak-kanak.

“Kanak-kanak juga mahukan platform sebegini untuk menonjolkan karya masing-masing dan usaha ini wajar diberikan tumpuan supaya mereka memperoleh manfaat yang baik dari penyertaan peraduan seperti ini,” jelasnya lanjut.

R. Surentharan.

Sementara itu, Surentharan turut memuji usaha mempromosikan dasar-dasar Kerajaan Negeri melalui peraduan yang dianjurkan oleh Buletin Mutiara.

“Saya amat kagum dengan karya yang ditonjolkan oleh bakat-bakat unik peserta sehinggakan agak sukar untuk memilih pemenang.

“Usaha sebegini wajar diteruskan lagi dan mengetengahkan konsep bertemakan hijau selaras Visi Penang2030,” ujarnya.

BARISAN panel juri bergambar kenang-kenangan menerima cenderahati dari pihak penganjur.

Pada sesi yang sama, Muhammad Akiff turut mencadangkan supaya memperbanyakkan lagi penganjuran acara fizikal seperti Hari Buletin yang mampu menarik penglibatan rakyat.

“Penganjuran Hari Buletin menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, oleh itu diharapkan pihak penganjur boleh menganjurkan lebih banyak acara fizikal.

“Dengan penganjuran seperti Hari Buletin pihak juri boleh melihat sendiri peserta menghasilkan karya tanpa pertolongan mana-mana pihak dan wajar dipilih sebagai pemenang,” tambahnya sambil memuji peraduan berkenaan yang berjaya menarik penyertaan ramai dengan menampilkan pelbagai elemen kreativiti.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI