Senarai Nilaian 2020: Pendengaran bantahan berlangsung 29 Oktober serentak di tujuh lokasi – Exco

GEORGE TOWN – Sesi pendengaran bantahan bagi senarai nilaian baru 2020 bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dijadualkan akan berlangsung pada 29 Oktober ini di tujuh lokasi berasingan secara serentak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, bagi pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) proses pendengaran bantahan akan berlangsung di tiga lokasi dengan dikendalikan oleh tiga Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran yang dibentuk, manakala bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan berlangsung di empat lokasi (enam jawatankuasa bantahan).

Jelasnya, sepertimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 142 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976, segala bantahan hendaklah disiasat dan mereka yang membuatnya hendaklah diberikan peluang untuk didengar dalam penyiasatan tersebut.

“Justeru, setiap pembantah dijemput menghadiri sesi pendengaran bantahan ini dan sekiranya pembantah tidak dapat hadir dan ingin menghantar wakil/agen perlu menyerahkan surat kuasa, tanpanya (surat kuasa) wakil tidak boleh mewakili kepentingan pembantah.

“Bagi kawasan pentadbiran MBPP, tiga lokasi pendengaran bantahan akan berlangsung di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama; Bilik Perdana Paras 4, Komtar dan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau.

“Manakala, MBSP proses pendengaran ini akan dikendalikan oleh enam jawatankuasa dilantik di empat lokasi berbeza secara serentak iaitu bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU) berlangsung di Kompleks Sukan MBSP Bertam; Seberang Perai Tengah (SPT) di Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek; Seberang Perai Selatan (SPS) di Dewan Serbaguna Jawi dan Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya pada sidang media yang berlangsung di sini hari ini.

Turut serta Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP); Dato’ Ir. Addnan Rozali (Setiausaha Bandaraya MBSP) dan Pengarah Penilaian Pengurusan Harta MBSP, Sr. Mat Nasir Hassan.

Terdahulu, pada 19 Julai lalu, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan permohonan kedua-dua PBT negeri untuk menyemak semula Senarai Nilaian sedia ada yang telah diguna pakai berasaskan kepada nilaian tahunan semenjak 1 Julai 2005.

Sehubungan itu, tempoh bantahan telah dijalankan selama 32 hari bermula dari tarikh pengeluaran Notis Kadaran sehingga 14 Oktober lalu.

Menurut Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, MBPP telah menerima sebanyak 54,239 bantahan, manakala MBSP (35,523).

“Jumlah bantahan yang diterima sepanjang tempoh bantahan adalah sebanyak 16.82 peratus bagi MBPP dan MBSP (11.22 peratus) bagi keseluruhan pegangan kategori hartanah.

“Disebabkan pendengaran bantahan dijangka akan mengambil masa sehingga Mac 2020, maka Cukai Taksiran bagi Penggal Pertama Tahun 2020 akan mengikut kadaran lama.

“Bil cukai taksiran bagi penggal pertama 2020 dijangka akan diterima secara berperingkat bermula November ini… bil tersebut akan memaparkan amaun sama dalam notis kadaran yang diterima September baru-baru ini dan jumlah itu belum mengambil kira keputusan Jawatankuasa Bantahan Cukai Taksiran
“Pemilik-pemilik harta perlu membuat pembayaran sebelum atau selewat-lewatnya pada 29 Februari 2020.

“Dan, sekiranya amaun cukai selepas keputusan bantahan adalah kurang daripada cukai asal, lebihan bayaran akan dikreditkan terus ke akaun Cukai Taksiran pemilik sebagai lebihan bayaran,” ujarnya lanjut.