Senarai pemenang peraduan Buletin Mutiara Edisi 1/2025 dimuktamadkan

Admin
68169e86 4f16 4121 81b9 c73d0f4aa9f4

GEORGE TOWN – Peraduan mewarna dan melukis poster yang dianjurkan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Buletin Mutiara) sejak tahun 2013 telah menjadi platform bagi anak muda menyerlahkan kreativiti serta menonjolkan bakat masing-masing.

Seramai 11 pemenang dimuktamadkan bagi dua pertandingan iaitu Bakat Si Cilik Mewarna dan pertandingan melukis poster bertemakan Kepelbagaian Dirai Memacu Penang2030.

Pemilihan akhir para pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut disempurnakan oleh barisan juri yang terdiri daripada Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Ketua Unit Pengurusan Bencana, D. Ambika Devi.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Haryany menyambut baik usaha yang dilakukan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara dan berharap dapat menambah baik beberapa aspek pada penganjuran seterusnya.

“Jika dilihat, terdapat banyak penyertaan (pertandingan melukis) melibatkan peserta yang terdiri daripada golongan dewasa, jadi adalah lebih menggalakkan penyertaan pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lain-lain.

“Hal ini kerana sedikit sebanyak wang tunai kemenangan yang diterima boleh dijadikan sebagai sumber kewangan untuk menyambung pelajaran dan sebagainya.

“Malah, pihak sidang redaksi juga boleh membuat kategori berasingan bagi kanak-kanak bawah enam tahun dan 12 tahun bertujuan membuka peluang kepada (kanak-kanak enam tahun) yang suka mewarna dan berkreativiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Heng Hua pula berpendapat bahawa karya-karya seni peserta wajar dipamerkan sebagai tanda penghargaan.

“Tidak dinafikan hasil karya kesemua peserta amat mengagumkan dan wajar dipamerkan kepada umum, secara tidak langsung usaha ini dapat memberi galakan kepada peserta untuk sertai lagi.

“Di samping itu, penganjuran sebegini berupaya mengembangkan budaya kesenian ke peringkat lebih yang tinggi serta memanfaatkan platform yang ada sebaiknya,” jelasnya lagi.

Pada sesi yang sama, Ambika berkata bahawa peraduan ini wajar diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai anak muda berpeluang menonjolkan bakat masing-masing

“Sejujurnya, sukar untuk barisan juri memilih pemenang kerana karya yang dihasilkan peserta amat kreatif dan dapat dilihat mereka peka dengan memasukkan elemen kepelbagaian ke dalam lukisan.

“Bahkan, elok juga sekiranya lukisan-lukisan ini dijual kepada sesiapa yang berminat serta membuka peluang kepada peserta untuk menjadi karyawan muda,” ulasnya.

Sebagai makluman, pertandingan melukis poster menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM700 kepada johan, RM500 (kedua) dan RM300 (ketiga).

Manakala bagi pertandingan Bakat Si CIlik Mewarna tidak kurang hebatnya, hadiah sebanyak RM500 (johan), RM300 (naib johan), RM200 (tempat ketiga) berserta lima hadiah saguhati bernilai RM50.

Senarai nama pemenang peraduan Buletin Mutiara (1 Januari 2025 – 31 Mac 2025)

Peraduan Mewarna bertemakan Kepelbagaian Dirai Memacu Penang2030

Pertama – Puteri Izzati Mohd. Fairuz

Kedua – How Yu En

Ketiga – Ong Da Niel

Saguhati – M. Harivarshan; M, Arunagiiri; Ong Da Reece; Nur Iffatul Zharifah Zulkifli

Peraduan Melukis bertemakan Kepelbagaian Dirai Memacu Penang2030

Pertama – Ooi Li Xin

Kedua – Lik Wei Xiong

Ketiga – Chew Wan Yii

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR