Sentiasa jaga kesihatan dan keselamatan diri semasa bertugas, seru Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menerima 50,000 pelitup muka gred perubatan (medical grade) daripada dua syarikat hartanah terkemuka.

 

Mah Sing Group dan Mah Sing Foundation yang diwakili oleh Pengurus Besar Kanan (Ketua Wilayah Utara), Lai Kok Soon menyerahkan sumbangan berupa 30,000 pelitup muka gred perubatan kepada Kerajaan Negeri untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) yang memerlukan. 

 

WAKIL Mah Sing Group dan Mah Sing Foundation menyempurnakan penyerahan sumbangan pelitup muka kepada Ketua Menteri di Komtar, tengah hari ini.

Manakala, syarikat Iconic Worldwide Berhad yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Tan Kean Tet menyerahkan 20,000 unit pelitup muka.

 

Sumbangan disampaikan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar, tengah hari ini.

 

KETUA Menteri menerima sumbangan daripada Iconic Worldwide Berhad.

“Terima kasih kepada Mah Sing Group dan Mah Sing Foundation serta Iconic Worldwide Berhad kerana turut membantu memberi sumbangan.

 

“Teruskan berjuang, jangan mudah menyerah kalah, Penang Lawan COVID-19,” zahir beliau usai penyempurnaan serahan pelitup muka.

 

Sementara itu, syarikat perkhidmatan penghantaran makanan hari ini turut menerima sumbangan 6,000 pelitup muka daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Sumbangan disampaikan Kon Yeow pada majlis penyerahan ringkas di bangunan Komtar pagi ini.

 

Sejurus penyerahan, Kon Yeow sempat menasihati penunggang (rider) supaya sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri semasa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

CHOW Kon Yeow turut memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada salah seorang penunggang bagi syarikat perkhidmatan penghantaran makanan yang menerima sumbangan pagi ini.

Buletin Mutiara sempat menemu bual salah seorang wakil syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, DeliverEat yang mahu dikenali sebagai Nadia.

 

Menurutnya, dalam keadaan PKP sekarang, pemakaian pelitup muka adalah sangat mustahak.

 

“Namun, bekalan pelitup muka adalah sangat terhad (di pasaran), jadi sumbangan ini amat membantu rider (penunggang) kami yang perlu bergerak sepanjang hari.

 

“(Dan) sebagai wakil syarikat bagi kawasan George Town, kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan berasa sangat gembira dengan sumbangan ini,” katanya.

 

WAKIL ketiga-tiga syarikat perkhidmatan penghantaran makanan yang menerima sumbangan pelitup muka pagi ini.

Sejumlah 6,000 pelitup muka diserahkan kepada tiga syarikat perkhidmatan penghantaran makanan iaitu DeliverEat, Food Panda dan Grab Food yang mana masing-masing menerima 2,000 helai.

 

Turut sama pada majlis berkaitan, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai serta wakil-wakil daripada ketiga-tiga syarikat perkhidmatan penghantaran makanan berkaitan.

 

Difahamkan, sumbangan tersebut merupakan kali pertama diberikan kepada syarikat perkhidmatan penghantaran makanan yang juga dianggap sebagai ‘wira’ sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac lalu.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : G. REVATIC / AHMAD ADIL MUHAMAD