GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menetapkan kadar cukai tanah nominal RM50 bagi 106 hakmilik di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan bukan milik PTP sejumlah 201 hakmilik tanah kegunaan sekolah.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah menyeragamkan kadar cukai tanah nominal itu tidak termasuk tanah kegunaan sekolah antarabangsa kerana berorientasikan perniagaan.
“Sebelum semakan cukai tahun 2026, kadar cukai tanah bagi kegunaan sekolah dikenakan pada kadar bangunan (kediaman) untuk tanah-tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan tanah-tanah sekolah bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
“Walau bagaimanapun, Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa telah bersetuju mengenakan kadar cukai tanah nominal berjumlah RM1 berdasarkan rayuan yang dikemukakan.
“Selepas meneliti situasi semasa pengenaan kadar cukai tanah bagi sekolah-sekolah berdasarkan semakan cukai tahun 2026, Pihak Berkuasa Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah bersetuju untuk mengenakan kadar cukai tanah untuk kegunaan sekolah-sekolah (secara seragam pada kadar cukai tanah nominal RM50),” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada sidang media di sini pada 21 Januari 2026.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin.
Di samping itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa memandangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah membuat semakan kadar cukai tanah selepas tahun 1994 iaitu 30 tahun yang lepas, maka banyak hakmilik tanah khususnya tanah-tanah First Grade yang mengenakan kadar cukai lama berdasarkan kepada kategori Pertanian (sebagai contoh), sedangkan kegunaan di atas tanah telah lama berubah kepada bangunan kediaman, bangunan perniagaan, industri dan lain-lain.
“Berdasarkan kepada Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 11 September 2025, Pihak Berkuasa Negeri telah memperkenalkan kaedah baharu untuk pengiraan cukai tanah-tanah First Grade iaitu berdasarkan kepada kegunaan semasa.
“Ini bermakna, pemilik tanah yang mendirikan bangunan kediaman, atau perniagaan atau perindustrian akan dikenakan kadar cukai berdasarkan kegunaan semasa tertakluk kepada kategori tanah bandar atau desa, sebagai contoh, satu hakmilik tanah First Grade di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) seluas 10800 meter persegi yang sebelum ini dikenakan cukai berdasarkan kepada kadar kategori Pertanian berjumlah RM33.00 setahun.
“Selepas semakan cukai 2026 dilaksanakan, didapati kegunaan semasadi atas tapak telah bertukar kepada Perindustrian dan oleh itu kadar cukai yang dilenakan adalah RM3.25 per meter persegi; maka, kadar cukai terkini yang perlu dibayar oleh pemilik ialah RM35,101.00,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya mengumumkan rebat 50 peratus bagi cukai tanah 2026 untuk mengurangkan beban pemilik susulan semakan kadar baharu.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pemberian rebat berkaitan adalah tertakluk kepada kadar minimum mengikut kategori tanah dan lokaliti, yang mana jumlah bayaran selepas rebat tidak boleh lebih rendah daripada amaun cukai tahun 2025.
Mekanisme tersebut, tambah beliau adalah bagi memastikan peralihan kadar lebih adil serta mengekalkan sumbangan hasil negeri yang stabil tanpa membebankan rakyat secara mendadak.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini menurunkan kuasa kepada Pentadbir Tanah Daerah untuk menimbang rayuan pengurangan cukai sehingga RM20,000.
“Langkah tersebut bertujuan mempercepat proses rayuan dan penyampaian keputusan kepada pemilik tanah susulan semakan kadar baharu.
“Semua pemilik tanah yang ingin mengemukakan rayuan atau mendapatkan penjelasan mengenai asas pengiraan kadar cukaiyang dikenakan ke atas hakmilik mereka boleh menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah yang berkaitan,” ulasnya lanjut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI