Seramai 24 peniaga kecil Sungai Acheh nikmati kemudahan kiosk lebih selesa, tersusun

Admin
img 20261019 wa0008

GEORGE TOWN – Hasrat menyediakan kemudahan perniagaan lebih selesa, tersusun dan selamat buat peniaga kecil di Sungai Acheh akhirnya menjadi kenyataan menerusi penyerahan rasmi Kiosk Penjaja Sungai Acheh kepada 24 peniaga terpilih.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, penyediaan kemudahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan peniaga kecil.

Menurutnya, usaha menyediakan kawasan perniagaan yang lebih baik itu didorong oleh keperluan untuk membantu peniaga kecil menjalankan perniagaan dalam persekitaran lebih kondusif, sekali gus menyokong usaha mereka mencari rezeki demi menyara keluarga.

“Bagi saya, pembangunan bukan sekadar membina bangunan atau menyediakan kemudahan tetapi bagaimana setiap pembangunan itu mampu memberi manfaat dan mengubah kehidupan rakyat.

“Saya tidak mahu pembangunan hanya cantik di atas kertas, sebaliknya, saya mahu rakyat dapat merasai sendiri hasilnya,” katanya dalam kenyataan media, di sini sebentar tadi.

img 20261019 wa0005img 20261019 wa0003

Majlis Simbolik Perasmian dan Penyerahan Rasmi Kiosk Penjaja Sungai Acheh itu berlangsung pada 18 Oktober 2026 dan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Tan Sri Khalid Ramli.

Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh merakamkan penghargaan kepada MPBPP dan Jabatan Perdana Menteri atas keprihatinan serta penyaluran peruntukan bagi merealisasikan projek berkenaan.

Beliau turut menghargai peranan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan sebagai agensi pelaksana projek, selain Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Acheh yang bertanggungjawab sebagai badan pengelola dan pentadbir kiosk penjaja tersebut.

Katanya, kerjasama dan komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada kesemua 24 peniaga yang terpilih dan berharap mereka dapat menggunakan kemudahan berkenaan sebaik-baiknya bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Saya berharap kemudahan ini dapat menjadi tempat mencari rezeki yang lebih selesa serta membuka ruang untuk perniagaan masing-masing terus berkembang maju,” katanya.

Tambah beliau, usaha membawa lebih banyak pembangunan dan kemudahan yang memberi manfaat kepada penduduk Sungai Acheh akan diteruskan selagi diberikan amanah.

“Bagi saya, kebajikan dan kesejahteraan orang kampung kita sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADUN