Seramai 610 pelajar terima Biasiswa Kecil Negeri tahun ini

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 610 pelajar baharu dari 108 buah sekolah menengah dari kelima-lima daerah di negeri ini menerima Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang pada tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, pemberian biasiswa tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM406,080.

Antara pelajar yang layak menerima BKN Pulau Pinang pada tahun ini.

“Bagi Daerah Timur Laut sahaja, seramai 76 pelajar layak menerima BKN pada tahun ini melalui peruntukan berjumlah RM50,880 manakala Daerah Barat Daya (103) pelajar melibatkan kos berjumlah RM69,960.

“Sumbangan yang disampaikan ini adalah atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan warga negeri.

“Justeru, diharapkan ia dapat meringankan beban ibu bapa serta waris pelajar terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik,” katanya semasa berucap mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Penyerahan Cek BKN Pulau Pinang peringkat Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD) dekat Dewan Sri Pinang sebentar tadi.

Hadir sama, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Amat Sazali Abu Hassan; guru-guru besar serta para pelajar.

Mengulas lanjut, Chong Eng memberitahu bahawa sejak 2008, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM19.98 juta bagi tujuan ini yang memanfaatkan seramai 30,881 pelajar di negeri ini.

Chong Eng menyerahkan cek BKN kepada pelajar yang layak.

Katanya lagi, melalui usaha tersebut Pulau Pinang akan terus berkembang serta dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan bagi menarik bakat-bakat baru yang terbaik selaras dengan agenda Ekonomi Digital Industri 4.0.

“Selaras dengan Pelan Transformasi Digital Pulau Pinang serta Visi Penang2030, pemerkasaan rakyat melalui pembangunan modal insan tidak boleh diabaikan.

“Justeru, Kerajaan Negeri menyedari bahawa cara paling efektif untuk memperkasakan modal insan adalah melalui pendidikan sama ada formal, sivik mahupun pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya lagi.

Difahamkan, setiap pemerima BKN yang layak menerima wang tunai berjumlah RM600 bagi pelajar sekolah menengah rendah manakala RM840 bagi sekolah menengah atas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN