Serambi PI: Bahasa Melayu bahasa kita semua

Oleh : OOI KOK HIN

Penyelidik di Penang Institute dan Presiden Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)

BARU-baru ini timbul isu mengenai papan tanda Pasar Seni. Gambar yang dimuatkan oleh seseorang pengguna Facebook telah menangkap perhatian ramai dan menjadi viral. Dalam kapsyennya, dia menulis, “… terperanjat besar aku. aku ni kat Kuala Lumpur ke… atau kat Hong Kong… atau kat Macau ke… atau kat Beijing?… Oh Negaraku Malaysia.”

Seperti biasa, masyarakat Malaysia yang masih tersempit dan bergelut dengan sentimen perkauman menjadikan isu bahasa sebagai isu perkauman. Ia satu kemalangan untuk negara kita kerana kita amat jarang sekali boleh mengadakan disklusi yang rasional, membina dan konstruktif tentang bahasa (dan sekolah) tanpa sentimen kaum. Namun, tidak salah mencuba rasanya.

Bahasa jiwa bangsa. Apakah peri pentingnya tiga perkataan yang sering diulangi di zaman sekolah kita? Bahasa adalah teras sesuatu kaum. Amatlah malang jika sesuatu bangsa tidak mengangkat bahasanya sendiri. Tidak kira sama ada kita memperjuangkan bangsa Malaysia dan/atau bangsa Melayu, rasanya kita sama-sama setuju bahawa bahasa bangsa Malaysia/Melayu perlu diangkat.

Ketika belajar di Amerika Syarikat, saya memperhatikan usaha memupuk perpaduan dan identiti seragam (common identity). Di situ pun usaha membina perpaduan adalah sesuatu yang mengambil masa dan tenaga, sebaliknya usaha memecah-belahkan masyarakat lebih mudah dan cepat. Apatah lagi di negara kita yang bukan sahaja mempunyai warganegara pelbagai kaum dan agama, tetapi juga bahasa yang berlainan. Di Amerika, tidak kira orang berkulit putih atau hitam, sekurangkurangnya mereka berkomunikasi dalam bahasa yang sama.

Cabaran yang menghadapi kita adalah bagaimana hendak memperkukuhkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan warganegara kita.

Bahasa sebagai medium perpaduan

Kebatasan menguasai sesuatu bahasa akan mendatangkan kesan kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini. Jurang bahasa ataupun language gap adalah satu masalah yang perlu ditangani dan diselesaikan.

Kita perlukan satu bahasa yang membolehkan semua warganegara berkomunikasi antara satu sama lain. Jika tidak, ada antara kita yang akan hidup dalam “ghetto” masing-masing. Kesesuaian, malah kepentingan, bahasa Melayu/Malaysia sebagai medium perpaduan sukar dinafikan.

Kita tidak memerlukan hujah bersifat perkauman dan emosi untuk melihat bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah terbaik untuk pembinaan negara bangsa (nation-building) kerana pertamanya, bahasa ini paling banyak digunakan dalam masyarakat kita. Kedua, ia lebih mudah dipelajari berbanding bahasa lain. Ketiga, ia merupakan kesinambungan sejarah tanah air dan masyarakat kita. Keempat, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kelima, kehidupan bermasyarakat mengharuskan kita untuk cuba memahami satu sama lain dan cara terbaik untuk memulakan proses pemahaman ini adalah meluaskan penggunaan bahasa majoriti.

Tanggungjawab bersama Orang Melayu dan bukan Melayu

Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, kita semua mempunyai peranan untuk mengangkat semula bahasa ini. Kita patut menggalakkan orang bukan Melayu bertutur dalam bahasa Melayu dan membuatkan mereka sedar bahawa bahasa ini milik kita semua. Kita patut menanam rasa pemilikan (sense of ownership) antara orang bukan Melayu.

Orang Melayu pula jangan menganggap bahasa ini milik ekslusifnya sahaja. Malah, sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam mengangkat martabat bahasa Melayu. Apakah gunanya jika lantang mengeluarkan kenyataan kononnya memperjuangkan bangsa Melayu tetapi merendahkan bahasa sendiri? Saya maksudkan orang Melayu yang suka menggunakan ayat dan perkataan ringkasan seperti “awk”, “ko”, “aq”, “klo”, “x heran” dan sebagainya. Perkataan sedemikian boleh diamalkan dalam perbualan seharian, tetapi tidak patut digalakkan dalam tulisan dan ucapan. Untuk mengangkat semula martabat bahasa, kita perlu mula dengan menggunakannya dengan betul.

Selain itu, seringkali terdapat perdebatan sama ada kita patut menamakan bahasa kebangsaan sebagai Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Pada hemat saya, perbahasan ini bukan mustahak. Persoalan pokok bukan sama ada namanya Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia, tetapi bagaimana kita menggalakkan lebih ramai orang menggunakannya.

Contohnya, seorang sahabat saya sangat mementingkan terminologi Bahasa Malaysia. Mungkin dia akan membaca artikel ini dan “menegur” saya nanti. Walaupun mempunyai perbedaan pendapat di situ, kami berdua kerap menggunakan bahasa Melayu/Malaysia dalam makalah kami. Kami tetap menyaran rakan-rakan Melayu dan bukan Melayu untuk belajar, bertutur, dan menulis dalam bahasa kebangsaan. Perbezaan kami hanya mengenai satu butiran sahaja; kami mempunyai matlamat yang sama. Yang penting, kita promosikan penggunaan bahasa ini.

Poin terakhir adalah berkenaan wakil rakyat. Disebabkan prosiding, dokumen, dan mesyuarat parlimen dan urusan kerajaan mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu, wakil rakyat perlu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Kadangkala agak “sukar” mendengar sesetengah wakil rakyat berbahas dalam bahasa Melayu. Namun, saya memuji sikap mereka yang berani mencuba. Harap dapat meneruskan usaha mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan!

Perubahan bermula dari kita. Jika kita ingin bangga dengan bahasa kita dan ingin mengangkat bahasa Melayu, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan penggunaan bahasa ini sebagai medium perpaduan dan pengantaraan. Hentikan penghinaan kepada bahasa dan mula menulis dengan menggunakan bahasa yang betul (atau sekurang-kurangnya cuba). Bangga dengan bahasa kita. Ingat, bahasa Melayu/bahasa Malaysia bahasa semua rakyat Malaysia!} else {