Isu pembesar suara ‘Nasihat Hukum’, bukan fatwa – Mufti

GEORGE TOWN – Kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja yang disyorkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bukanlah mengikut telunjuk mana-mana pihak seperti digambarkan oleh pihak pembangkang negeri ini.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, syor itu masih bersifat isyhad hukm atau Nasihat Hukum untuk mencegah penyalahgunaan pembesar suara kononnya atas nama Islam sampai mengganggu ketenteraman masyarakat sekeliling.

“Isu ini merupakan nasihat hukum atau ‘isyhad hukm‘ sahaja…kita belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan).

“Sejak tahun 2012 lagi, kita (Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang) telah membuat keputusan melarang penggunaan pembesar suara sebelum waktu Subuh sahaja, keputusan itupun adalah Nasihat Hukum sahaja. “(Isyhad Hukm) kali ini pun belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan), cuma penambahbaikkan dan cadangan sahaja yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa supaya keputusan sebelum ini lebih ‘kuat’, dihormati dan diwartakan nanti.

“Setakat ini, kita bersedia untuk menilai semula, kalau kita meneliti ia tidak perlu diwartakan, maka kita akan kekalkan ia sebagai isyhad hukm sahaja, jika perlu akan diwartakan nanti,” respons Wan Salim kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) masih menerima lebih 10 aduan daripada umat Islam dan komuniti bukan Islam selepas isyhad hukm berwajib diputuskan pada tahun 2012.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim turut menjelaskan mengenai status surat pekeliling kepada JHEAIPP, yang membenarkan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja.

“Apabila Jabatan Agama Islam menerima surat daripada Jabatan Mufti itu, di antara pendekatan Jabatan Agama Islam adalah meneliti isu ini dan mengadakan cadangan-cadangan.

“Di antara cadangannya adalah Bahagian (Pengurusan) Masjid dan Surau telah datang berbincang dengan saya untuk mengadakan muzakarah, berbincang bukan berhubung larangan ini, tetapi berbincang berhubung dengan isu ini,” respons Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Justeru, katanya, Nasihat Hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri itu sebenarnya bersifat bebas dan bukanlah mengikut telunjuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng seperti didakwa oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.