Serambi PI : Dilema institusi pengajian tinggi Malaysia

Admin

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI

EDISI terbaru “100 universiti terbaik bawah umur 50 tahun” oleh Times Higher Education (THE) telah pun diterbitkan, dan keputusan bagi tahun 2014 menunjukkan peningkatan dalam prestasi universiti-universiti Asia..

Yang luar biasanya, empat daripada lima universiti terbaik merupakan universiti dari Asia. Universiti terulung adalah Postech (Pohang University of Science and Technology) dari Korea Selatan, manakala di kedudukan ketiga, keempat dan kelima adalah KAIST (Korea Advanced Institute of Science and Technology), Hong Kong University of Science and Technology dan Nanyang Technological University dari Singapura.

Sementara itu, negara Asia lain seperti Taiwan juga mendapat perwakilan yang membanggakan, apabila empat universiti dari negara tersebut berjaya memasuki senarai 100 terbaik.

Selain daripada prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh negara Asia yang maju dan membangun, universiti muda dari negara-negara seperti ArabSaudi, Iran dan India juga mencatatkan peningkatan. Malah, India telah memasuki senarai tersebut buat  julungkali . Pencapaian universiti-universiti ini menunjukkan bahawa peningkatan akademik boleh dicapai dalam keadaan sosio-politik dan ekonomi yang mencabar.

Malangnya, Malaysia sekali lagi gagal untuk menampilkan diri dalam kancah global. Hakikat ini bermaksud prestasi kita telah menurun kerana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menduduki tangga ke- 98 pada tahun 2012 apabila senarai 100 terbaik mula-mula diterbitkan.

Sementara senarai tahunan THE World University Rankings merangkumi semua universiti, termasuk institusi-institusi yang ternama seperti Oxford, Cambridge, MIT dan Harvard, ranking “100 terbaik di bawah 50” adalah persaingan yang lebih adil kerana membabitkan universiti-universiti yang lebih muda dan tidak begitu masyhur.

Oleh itu, kegagalan semua universiti Malaysia, kecuali Universiti Malaya yang tidak layak kerana ditubuhkan
pada tahun 1949, untuk meraih tempat dalam senarai tersebut lantas mencerminkan kemerosotan kualiti pengajian tinggi di negara kita.

Kekurangan autonomi dan kebebasan akademik

Universiti-universiti negara kita tidak akan mampu bersaing selagi masalah pokok tidak ditangani, iaitu kekurangan kebebasan akademik, campur tangan politik yang berterusan dalam akademia serta kualiti fakulti yang makin merosot.

Baru-baru ini, mantan Presiden Majlis Bar Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan, telah dihalang daripada memberi ucapan atas tajuk “Litigasi Kepentingan Awam” di Universiti Malaya (UM), dalam sebuah acara yang ditaja oleh Persatuan Undangundang UM.

Sekiranya seorang pengamal profesional yang terkemuka tidak dibenarkan untuk menyampaikan syarahan kepada bakal pengamal masa depan, bagaimanakah mahasiswa kita dapat membina keupayaan pemikiran kritis yang diperlukan untuk menjana ekonomi berasaskan pengetahuan serta inovasi?

Pada waktu yang sama, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula bukan sahajadibenarkan untuk berucap malah dialualukan
secara besar-besaran di universiti yang sama. Jelas, campur tangan politik telah berlaku. Adakah tindakan dwi-standard ini sesuai bagi sebuah institusi yang berperanan untuk memupuk bibit-bibit kepimpinan masa depan?

Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita juga mengalami kekurangan autonomi dalam tatakelola pentadbiran. Ini jelas terbukti apabila lantikan pegawai utama seperti Naib Canselor seolah-olah diputuskan di tahap politik dan bukan oleh Lembaga Pengarah.

Tambahan pula, mahasiswa masih lagi dibelenggui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengekang hak asasi seperti kebebasan untuk bersuara dan berpersatuan. Tidak kebetulan, pengenalan akta drakonian ini pada tahun 70-an juga menandai bermulanya pola penurunan kualiti pengajian tinggi di Malaysia sehinggalah ke hari ini.

Penghijrahan keluar ahli akademik Akhir sekali, kemerosotan kualiti tenaga pengajar di IPTA juga menjadi antara faktor kelemahan yang kritikal. Sebuah universiti yang terulung bukan sahaja harus menghasilkan dan mengekalkan modal insan tempatanyang cemerlang, tetapi ia juga seharusnya menarik modal insan asing yang berkualiti.

Jika dahulu universiti tempatan boleh berbangga dengan kehadiran ramai ahli akademik bertaraf antarabangsa yang terbilang dalam bidang masing-masing seperti John Funston, Harold Crouch, Clive Kessler, James C Scott dan Arndt Graf, kini bilangan nama asing yang terkenal hanya tinggal sekerat.

Lebih parah lagi, universiti kita juga gagal mengekalkan ahli akademik tempatan yang mempunyai reputasi hebat. Nama-nama seperti KS Jomo, Syed Farid Alatas, Wang Gung Wu, Johan Saravanamuttu dan Azly Rahman semuanya telah memilih untuk berkhidmat di institusi-institusi di luar negara. Jelas, kita bukan sahaja kehilangan faktor tarikan, malah faktor tolakan makin menjadi kuat. Ini telah mengakibatkan fenomena brain drain dalam kalangan akademia negara kita.

Demikianlah dilema institusi pengajian tinggi Malaysia. Selagi isuisu pokok seperti kebebasan akademik, autonomi pentadbiran dan kualiti fakulti tidak ditangani, universiti tempatan tidak akan berkembang sejajar dengan persaingan global.