Serambi PI : Kunjungan BJ Habibie ke Pulau Pinang

Pulau Pinang, Ibu Kota Tadbir UrusBersih di Asia Tenggara

TANGGAL 4 Disember 2012, kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi Penang Institute telah menjemput bekas Presiden Indonesia, Professor Dr. Bacharduddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie, ke George Town untuk menyampaikan syarahan umum di bawah siri ASEAN Coalition for Clean Governance (ACCG) Leaders’ Lecture. ACCG ataupun “Pakatan ASEAN untuk Tadbir Urus Bersih” merupakan inisiatif Penang Institute bag i menggembleng fokus masyarakat rantau ASEAN bagi memupuk dasar-dasar tadbir urus baik dan bersih terutamanya di peringkat kerajaan. Ini adalah selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabel, Telus yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Syarahan Leaders’ Lecture yang julung kali telah disampaikan oleh Abhisit Vejjajiva, bekas Perdana Menteri Thailand pada bulan Jun yang lalu. Kehadiran pemimpinpemimpin unggul di Pulau Pinang merupakan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara ASEAN terhadap usaha serta pencapaian Pulau Pinang sebagai Ibu Kota Tadbir Urus Bersih (Capital of Clean Governance) di rantau ini.

Ahli politik bidan terjun tetapi jurutera pakar Di bawah pengakuan beliau sendiri, Habibie merupakan seorang ahli politik bidan terjun (accidental politician). Beliau berkata bahawa ia menyertai kerajaan untuk “menyelesaikan masalah bukan untuk berpolitik”. Mungkin faktor inilah yang menjadikan beliau unik.

Dilahirkan pada 25 Jun 1936 di Sulawesi Selatan, Habibie dilatih sebagai seorang jurutera aeronautik di masa rantau Asia Tenggara masih dilihat sebagai mundur dan hanya mampu bergantung kepada penjajah Barat.

Di kalangan presiden, perdana menteri dan pemimpin-pemimpin dunia, sudah tentu semuanya biasa menaiki kapal terbang dan mungkin ada sesetengah yang boleh memandu kapal terbang. Tetapi jarang adanya pemimpin pada peringkat tersebut yang mampu membina kapal terbang seperti Presiden Habibie. Beliau memiliki lebih 40 paten berdaftar dalam bidang aeronautik. Keunikkan ini jelas terserlah dalam kerjaya politik beliau.

Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau satu di antara sejuta. Legasi Habibie kepada ASEAN Jika ada tiga pengajaran daripada syarahan umum Presiden Habibie di Pulau Pinang, ianya ialah pertama, ketamadunan bukan milik eksklusif mana-mana bangsa; kedua, tadbir urus baik merupakan asas kejayaan sesebuah negara; dan ketiga, seorang pemimpin yang baik akan memfokus kepada penyelesaian masalah bukan berpolitik semata-mata.

Semua ini merupakan legasi Presiden Habibie kepada rantau ini yang patut diteladani oleh pemimpin-pemimpin yang akan datang. Saya jelaskan berikutnya. Pada tahun awal tahun 70-an Habibie telah kembali ke Indonesia setelah sekian lama di negara Jerman.

Beliau dilantik oleh Suharto yang menjadi Presiden Indonesia ketika itu untuk mengepalai syarikat aeroangkasa milik kerajaan, Industri Pesawat Terbang Nurtanio (IPTN) dan kemudiannya sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi pada tahun 1978.

Dalam masa singkat 10 tahun, IPTN di bawah pimpinan Habibie telah berjaya menghasilkan sebuah kapal terbang jenis pertahanan CN- 235 dengan kerjasama sebuah syarikat Spanyol, CASA. Tidak cukup dengan kejayaan tersebut, Habibie mempunyai cita-cita bagi Indonesia merekacipta dan menghasilkan kapal terbang sendiri tanpa kerjasama dengan mana-mana syarikat asing.

Justeru, beliau menumpukan dekad kedua di IPTN ke arah tersebut. Pada 10 Ogos 1995, seminggu sebelum ulangtahun ke-50 kemerdekaan Indonesia, kapal terbang komersil buatan Indonesia sepenuhnya yang pertama, N-250, bergelar Gatotkaca, terbang di angkasa Indonesia, melambangkan bukan sahaja kemerdekaan politik, malah kemerdekaan teknologi negara tersebut.

Habibie, dalam syarahan umum beliau berkata bahawa ini bukti ketamadunan bukan hakcipta mana-mana bangsa, tetapi adalah ciri umat manusia sejagat yang sanggup bekerja keras.

Keduanya, Presiden Habibie memuji perlaksanaan tadbir urus bersih oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng. Ini kerana, beliau berpendapat bahawa tanpa kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan sesuatu organisasi termasuk kerajaan, maka organisasi tersebut tidak berupaya maju ke depan.

Beliau lebih mengetahui dalam perkara ini. Beliau merupakan antara orang kanan dalam rejim Orde Baru Presiden Suharto yang menerajui Indonesia lebih 30 tahun. Disebabkan pelbagai kepincangan dalam kerajaan, negara sukar untuk maju ke hadapan untuk bersaing dengan negara-negara lain.

Habibie diangkat menjadi Presiden Indonesia di saat puluhan juta rakyat Indonesia keluar ke jalan memprotes penyalahgunaan kuasa dan budaya 3K – korupsi, kronisme dan kapitalisme – yang diamalkan oleh kerajaan.

Dalam masa singkat beliau menjadi Presiden Indonesia, dari tahun 1998-1999, Habibie telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menghentikan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan. Antaranya, mengehadkan kuasa dan tempoh jawatan Presiden, membuka ruang demokrasi dengan membenarkan kebebasan media dan memansuhkan pengharaman kesatuan pekerja serta menggubal undang-undang untuk memastikan pilihanraya yang adil dan bersih.

Walaupun beliau tidak mendapat sokongan walau daripada parti Golkar beliau sendiri, Presiden Habibie bertekad melaksanakan langkah pembaharuan kerana beliau sedar hanya dengan sebuah sistem pentadbiran yang baik dan bersih sahaja Indonesia mampu untuk maju ke hadapan.

Ini terbukti benar, kini dengan kesuburan demokrasi di Indonesia, ia merupakan antara ekonomi yang paling kuat di rantau ini.

Akhir sekali, Presiden Habibie mempamerkan satu sifat yang jarang ada dalam dunia politik hari ini. Beliau tegas memegang prinsip “menyelesaikan masalah, bukan berpolitik”.

Dua peristiwa jelas mengambarkan pendirian beliau tersebut. Pertama ialah keberanian Presiden Habibie menganjurkan referendum kemerdekaan Timor- Leste (dahulu Timor Timur) pada tahun 1999.

Suara rakyat Timor- Leste untuk menuntut kemerdekaan melalui referendum tersebut kemudiannya dihormati oleh Presiden Habibie walaupun ditentang kuat oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia. Sudah tentu kemerdekaan Timor Leste tidak popular sama sekali dari segi politik, tetapi Habibie fokus kepada penyelesaian masalah rakyat, bukan bermain politik.

Keduanya, semasa pentadbiran beliau, Presiden Habibie telah memulakan proses desentralisasi pentadbiran di Indonesia. Di bawah 31 tahun pemerintahan Presiden Suharto, kuasa kerajaan dipusatkan sepenuhnya di Jakarta.

Segala keputusan merentasi keluasan 2,000,000 kilometer persegi (banding Malaysia: 330,000 kilometer persegi) seluruh Indonesia dan 240 juta penduduk (Malaysia: 28 juta) dibuat oleh kerajaan pusat di Jakarta.

Memahami aspek kecekapan dalam decentralisasi pentadbiran, maka Habibie membuat keputusan untuk melaksanakannya dengan memberikan kuasa pentadbiran dan ekonomi kepada kerajaan provinsi dan kota di seluruh Indonesia.

Ini bukan sahaja merapatkan jurang antara rakyat setempat dengan proses pembuatan keputusan, malah membolehkan pemimpin kerajaan mendekati isu-isu setempat bagi membuahkan penyelesaian yang lebih relevan dengan konteks lokal. Ini adalah kecekapan seorang jurutera aeronautik, fokusnya adalah kepada cara paling efisien dalam penyelesaian masalah bukan kepentingan politik.

BJ Habibie (lima dari kanan) bergambar bersama-sama pucuk pimpinan Kerajaan Negeri dan Penang Institute pada penganjuran ACCG Leaders’ Lecture di sini baru-baru ini.
BJ Habibie (lima dari kanan) bergambar bersama-sama pucuk
pimpinan Kerajaan Negeri dan Penang Institute pada penganjuran
ACCG Leaders’ Lecture di sini baru-baru ini.

Tadbir urus bersih untuk mengecapi kemajuan lebih pesat ASEAN mempunyai potensi yang amat besar. Pada hari ini, jumlah penduduk di rantau ini mencecah 600 juta, dua kali jumlah penduduk di Amerika Syarikat dan lebih besar daripada Kesatuan Eropah (European Union).

Dahulunya kita menjadi rantau pengeluar, menghasilkan barangan kepada dunia barat. Tetapi kini dengan bertambahnya golongan kelas menengah di rantau ASEAN kepada hampir 200 juta dan dicampur pula dengan kelas menengah di China 400 juta dan India 200 juta, ASEAN khasnya dan Asia Timur amnya akan menjadi pasaran pengguna gergasi dunia.

Walau bagaimanapun, potensi ekonomi ini tidak akan tercapai tanpa pentadbiran bersih. Kerajaan yang rasuah, menindas rakyat dan tidak cekap tidak akan mampu mendukung negara menghadapi cabaran dunia abad ke-21.

Justeru, untuk maju, kita perlukan pemimpin dan pemikir seperti Presiden BJ Habibie, seorang pemimpin yang berani melaksanakan reformasi ke arah tadbir urus bersih.

Steven Sim
Pegawai Eksekutif Kanan
Penang Institute