Serambi PI : Ucapan perbahasan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute SEKALI lagi, Dewan yang mulia ini dihadapkan dengan keputusan yang amat berat dan genting dalam bentuk Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan 2015.

Akta yang dicadangkan ini tidak boleh diambil ringan apabila jelas terdapat peruntukan-peruntukan yang bercanggah dengan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan, menghina dasar pengasingan kuasa serta melanggari prinsip keadilan asasi (natural justice). Oleh itu, Rang Undang-undang ini wajib dibahas dari segenap aspek dan bukan sekadar dari sisi teknikalnya.

Daesh dan ideologi radikal Tuan yang dipertua, Rang undang-undang ini dibentangkan lantaran meningkatnya ancaman militan dan keganasan, khasnya fenomena IS (Islamic State) ataupun Daesh (ad-Dawlah al-Islamiyah fil-Iraq wash-Sham) yang kelihatannya semakin menarik sebahagian rakyat Malaysia untuk bertempur di medan perang negara asing.

Menurut laporan-laporan media, negara “Khalifah Islam” ini berjaya mengumpulkan bala tentera yang terdiri daripada antara 13,000 hingga 20,000 pejuang “jihad” sukarelawan asing.

Berdasarkan kertas putih Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen tahun lepas, terdapat 39 orang rakyat Malaysia yang telah menyertai peperangan di Syria dan Iraq setakat 13 November 2014, sementara 40 orang lagi berjaya diberkas.

Malangnya, minat terhadap Daesh ini terus meningkat sehinggakan seorang gadis berusia 14 tahun boleh terjebak. Mujur, beliau sempat ditahan oleh pihak polis sebelum berlepas ke Mesir pada bulan Februari tahun ini.

Situasi seperti ini tidak pernah dibayangkan di negara kita, tetapi dengan ketersediaan teknologi dan media sosial yang begitu menyeluruh rangkaiannya pada hari ini, peperangan di Asia Barat yang mungkin dahulunya hanya sekadar segmen berita pada lewat malam kini menjadi sesuatu yang lebih dekat dan boleh dicapai.

Malahan, sesiapa yang ingin melibatkan diri hanya memerlukan akaun Facebook dan kemampuan untuk membeli tiket penerbangan. Semudah itu!

Persoalannya, adakah kita benar-benar memahami dinamik gerakan pengganas dan ideologi radikal abad ke-21 ini, dan bagaimanakah boleh kita membendung motivasi mereka?

Akta ini tidak akan membendung keganasan Tuan yang dipertua,

Saya tidak akan membahaskan perincian Rang Undang-undang ini dengan terlalu mendalam kerana ramai yang akan melakukanya.

Bagaimanapun, dari perspektif penggubalan dasar, saya ingin menekankan bahawa adalah berbahaya jika kerajaan beranggapan masalah keganasan ini dapat diselesaikan dengan pengembalian kuasa menahan tanpa bicara.

Cuba bayangkan, undang-undang yang bertujuan untuk menangkap suspek pengganas ini hanya akan berhasil sekiranya pihak polis mampu mengesan mereka terdahulu. Pun begitu, masalah pokok tidak terselesai dan sudah pun ternyata bahawa penangkapan beberapa orang suspek tidak akan membendung hasrat rakan-rakan mereka yang bersehaluan.

Malah, mereka hanya akan mencari helah yang lebih licik untuk mengelakkan pihak berkuasa.

Hakikatnya, penggunaan undang-undang yang bersifat mengharamkan dan menekan hanya akan mengasak mereka yang berpotensi untuk melibatkan diri dalam gerakan pengganas untuk bersembunyi dan bergerak secara senyap di bawah tanah.

Kesimpulannya, usaha menangani ancaman  pengganas ini tidak akan berjaya melalui pendekatan undang-undang semata-mata. Cabaran abad ke-21 tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan abad ke-20. Apa yang kita perlukan adalah perdebatan rasional dan berpaksikan idea untuk merubah fikiran. Dalam erti kata lain, kita perlu memerangi keganasan dengan pencerahan masyarakat melalui pendidikan dan keterbukaan wacana.

Kita harus melawan idea dengan idea, hujah dengan hujah!

Diam bererti merestui pelampau

Tuan yang dipertua,
Sekiranya kita ingin menangani gejala keganasan, kita harus terlebih dahulu mengambil jalan tengah kesederhanaan dan berhenti daripada menyokong sebarang gerakan dan ideologi melampau. Sementara kebebasan bersuara harus dipertahankan, namun ia tidak harus melangkaui perbuatan jenayah.

Ugutan merogol dan membunuh, sebagaimana yang diterima oleh penyampai BFM Aisyah Tajuddin, wajib dikecam
dan diambil tindakan tegas. Pihak berkuasa tidak boleh berdolak-dalik dan bersikap dwi-standard mengenai perkara ini.

Apabila catatan lain di Facebook yang kononnya bersifat hasutan atau mencemuh sesetengah pemimpin dapat dikesan dengan segera dan ditangkap penulisnya, mengapakah masih tidak ada sesiapa yang ditangkap atas ugutan-ugutan jenayah terhadap Aisyah? Adakah ia kerana beliau ini seorang wanita, atau tidak berpangkat, atau tidak bersehaluan dengan agenda pihak berkuasa?

Sikap pasif agensi kerajaan dan pihak polis terhadap ancaman sebegini boleh diterjemahkan sebagai sokongan dan restu terhadap tindakan melampau. Sekiranya dibiarkan, keganasan dan sifat melampau akan dilegitimasikan.

Maka, adalah perlu untuk Kerajaan menunjukkan sikap yang tegas dan jelas bagi mencabar naratif golongan pelampau. Sementara ugutan-ugutan jenayah harus dibendung dengan serta merta, pemikiran masyarakat secara umum harus juga dirubah dan dididik melalui perbincangan awam.

Ini bermaksud perbezaan pandangan dalam soal ideologi, mazhab atau sistem moral harus diraikan dan dibenarkan selagi ia tidak berunsurkan ugutan atau intimidasi jenayah. Malangnya, Kerajaan memilih sikap yang berbeza. Ambil sebagai contoh layanan terhadap golongan Syiah di negara ini.

Mereka ditahan dan dilabel sebagai sesat dan menyimpang. Malah ada yang dikafirkan. Hakikat ini sangat malang, sedangkan tradisi keilmuan Islam tidak pernah memilih untuk menggunakan kekerasan terhadap mazhab yang berbeza.

Sebaliknya, perbahasan teologi harus digunakan untuk membidas hujah.

Sikap keterbukaan dan kesederhanaan ini sangat penting untuk menangani keganasan kerana ekstremisme hanya berlaku apabila seseorang itu disogokkan dengan ideologi semata-mata tanpa memeriksa kebenarannya. Dalam keadaan masyarakat yang tidak terbuka dan sekadar pak turut yang tidak berani mempersoalkan kebenaran, maka tidak hairanlah jika lebih ramai lagi turut terpedaya dengan pemikiran radikal dan melampau.

Rang Undang-undang ini tidak boleh diterima Tuan yang dipertua, Dalam usaha menggubal undang-undang, adalah wajib kita memastikan ia tidak bercanggah dengan teras-teras Perlembagaan Persekutuan, konvensyen antarabangsa serta prinsip keadilan asasi.

Sebagai contoh, Resolusi 2178 (2014) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dianggotai negara kita dengan jelas menyatakan bahawa “sebarang langkah yang diambil untuk menangani keganasan harus mematuhi semua kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya undang-undang hak asasi manusia, pelarian antarabangsa, dan kemanusiaan antarabangsa,” serta “menekankan bahawa menghormati hak asasi manusia, kebebasan asasi dan kedaulatan undang-undang adalah saling melengkapi dan saling memperkukuh dengan langkah memerangi keganasan yang berkesan….”

Jelas, Rang Undang-undang yang dibentangkan ini tidak menghormati teras-teras tersebut. Umpamanya, tiada peruntukan untuk memastikan suspek yang direman akan dimaklukan alasan-alasan penangkapannya, sementara hak untuk dibela oleh pengamal undang-undang juga tidak dijamin. Ini jelas bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan diri dan Perkara 8 yang menjamin kesemarataan di sisi undang-undang.

Prosedur untuk membawa suspek kepada Majistret juga kelihatan sekadar ilusi pengawasan kehakiman, memandangkan Majistret tidak mempunyai budi bicara untuk menentukan penahanan dan secara praktikalnya perlu bersetuju dengan pihak polis dan Pendakwa Raya. Pada masa yang sama, kuasa semakan kehakiman juga disingkirkan, lantas mencabuli doktrin suci pengasingan kuasa.

Tambahan pula, tampaknya terdapat keraguan dan kekaburan dalam Rang Undang-undang ini di mana ungkapan “aktiviti politik” dan “kepercayaan politik” tidak dijelaskan dengan terperinci dan terbuka untuk penyalahgunaan.

Memandangkan rekod prestasi penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan, sudah tentu kekhuatiran timbul bahawa undang-undang baru ini juga akan menjadi alat untuk memajukan kepentingan politik parti pemerintah.

Hakikat ini sudah pun terbukti dengan sejarah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Hasutan 1948.

Kedua-dua undang-undang ini telah digubal untuk membendung ancaman komunis, namun pelaksanaanya telah melihat penangkapan dan penahanan ahli politik, akademik, wartawan dan aktivis sosial. Apakah jaminan bahawa sejarah tidak akan mengulang lagi?

Lebih penting lagi, adakah Akta ini benar-benar diperlukan apabila Parlimen telah pun meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) serta pindaan-pindaan kepada Akta Keterangan 1950, Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan yang sudah menyediakan pelbagai peruntukan untuk menangani keganasan, termasuk tahanan terhad untuk tujuan penyiasatan.

Tuan yang dipertua,
Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sekiranya tujuan Rang Undang-undang ini adalah untuk membendung ideologi radikal dan gerakan pengganas, maka ia akan gagal dalam matlamatnya. Ini kerana undang-undang ini sekadar memberi kuasa untuk menangkap suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganas, tetapi langsung tidak menangani pokok kepada masalah – iaitu penindasan ruang kebebasan yang mendorong kepada pemikiran sempit serta pendekatan dwi-standard Kerajaan yang bercanggah dengan sifat kesederhanaan dan melegitimasikan ugutan ganas.

Oleh itu, saya ingin menggesa agar Kerajaan menarik balik Rang Undang-undang ini, ataupun sekurang-kurangnya merujukkannya, bersama dengan pindaan-pindaan kepada Akta-akta lain yang berkenaan, kepada Jawatankuasa Pilihan bagi memperhalusi butiran undang-undang dan membawa pengesyorannya kepada mesyuarat Dewan Rakyat yang akan datang. Sekian, terima kasih.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);