Serambi PI: Ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 (Bahagian 1) Apabila pemuda hilang kepercayaan

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

Tuan yang dipertua,

SAYA bermula dengan kisah seorang pemuda yang mengakhiri kehidupannya dengan cara yang paling salah menurut agamanya, iaitu dengan membunuh dirinya sendiri. Pemuda ini dikecam kerana melakukan dosa besar, dia dituduh tidak kuat iman untuk berhadapan dengan dugaan hidup, dan dia dinista kononnya mengambil jalan mudah tanpa memikirkan nasib keluarga yang ditinggalkan. Tetapi berapa ramai daripada kita sanggup bertanya apakah kegagalan kita, sebagai manusia dan saudara seagama, sehingga dia terpaksa melakukan tindakannya itu?

Sedari awal lagi, pemuda ini tidak hidup senang. Dia seorang anak yatim, bersama dengan lima adik-beradik lain. Dia tidak berpeluang belajar tinggi malah terpaksa berhenti sekolah dan bekerja demi menampung keluarganya. Pada usia 26 tahun, dia menjual buah-buahan di pekannya, namun seringkali dimangsakan oleh pihak berkuasa tempatan kerana tidak memiliki permit menjaja. Ada kalanya alat perkakasnya dirampas, dan ada kalanya dia dipaksa membayar denda kerana tidak mampu membayar suapan. Malah ada sekali dia ditampar oleh pegawai penguatkuasa bagai orang yang terhina.

Akhirnya, si pemuda yang mengalami kesempitan hidup ini bertekad tidak sanggup lagi dihina lantas bertindak membakar dirinya di hadapan bangunan kerajaan kerana tidak ada cara lain untuk menyampaikan rintihannya kepada si penguasa. Pada hari tersebut, nyawa pemuda ini telah tamat, namun riwayatnya telah menghidupkan hati nurani puluhan juta insan lain.

Ya, kita semua tahu, ini kisah pemuda yang bernama Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid, Tunisia. Dia tidak berpelajaran tinggi dan tidak pernah mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang, malah mungkin tidak mampu mengimpikan lebih daripada kehidupan kais pagi makan pagi. Namun dia akan selama-lamanya dikenang dunia kerana kematiannya pada tahun 2010 telah mencetus gelombang Arab Spring di serata bumi Arab dan membawa kepada kejatuhan pemerintahan berpanjangan rejim kuku besi di Tunisia, Libya dan Mesir.

Tuan yang dipertua, Baru-baru ini pula kita digemparkan dengan tindakan seorang pemuda di negara kita, Mohd Shukri Saad yang berasal dari Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Pemuda yang dikenali sebagai Shukri Lahar Yooi ini mengejutkan negara apabila memilih untuk mengakhiri hidupnya dengan terjun daripada Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, lalu meninggalkan isteri dan anakanak. Menurut nota bunuh diri yang ditinggalkan di akaun Facebook miliknya, dia bertindak sedemikian kerana berasa amat tertekan dengan beban-beban kehidupannya, khususnya siri tindakan undang-undang yang dikenakan kepada ‘orang kecil’ seperti dirinya. Meskipun dia mengaku bersalah kerana menjual rokok seludup, namun dia berpendapat hukuman yang bakal dihadapinya adalah keterlaluan, lagi-lagilah apabila, dalam ayatnya sendiri, mereka yang “tibai berjuta-juta” boleh pula lepas. Dalam erti kata lain, Mohd Shukri tidak melihat bahawa undangundang dapat ditegakkan dengan adil, sepertimana saya petik di sini:

“Aku amat tertekan dengan kerajaan yang zalim, kerana kes rokok yang nilai rampasannya hanya RM160 aku akan dipenjarakan. Ini kesalahan pertama aku pada tahun 2012, baru sekarang naik makamah. Bulan lapan yang lepas aku dah kena kes yang sama iaitu jual rokok murah yang nilainya RM200. Hampir direman seminggu dan mujurlah ada surat kematian anakku yang ketiga. Aku dikenakan jaminan RM3,000. Kena bulan dua naik court, bulan lapan… dihukum RM4,000 atau empat bulan penjara. Aku settle RM4,000 dan duit pun jenuh hutang kawan. Ya, aku mengaku salah. Perkara itu salah tetapi hukumannya tak setimpal. Yang pengarah tibai berjuta boleh lepas pula dengan duit jaminan. Celaka punya pimpinan kerajaan sekarang… berniaga kedai runcit kampung sahaja bukan untung besar pun. Margin cukup nipis dibebani dengan cukai GST lagi. Memang kerajaan sekarang zalim. Dengan ini aku memilih untuk berkorban sebagai rakyat yang dizalimi…. Biarlah aku berkorban demi rakyat Malaysia walau aku nanti akan dikecam dan dihina.”

Tuan yang dipertua,

Dewan yang kita mahu anggap mulia ini adalah medan di mana undang-undang digubal bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Apabila ada rakyat yang memilih jalan bunuh diri, soal hilang kepercayaannya terhadap agama, putus cinta atau tekanan keluarga memang bukan urusan langsung dewan ini. Akan tetapi, apabila dia membunuh dirinya kerana hilang kepercayaan terhadap fungsi dewan ini dan institusi negara ini untuk menjaminkan keadilan buat dirinya, maka jelas ia menjadi urusan paling mendasar kepada dewan ini.

Setiap undang-undang yang diluluskan oleh dewan ini mendapat legitimasi melalui prosedur rasminya, yakni dari bacaan kali pertama sehingga ke pewartaan. Namun, kepatuhan terhadap undang-undang bukan sekadar datang daripada legitimasi secara prosedur (procedural), tetapi harus juga mendapat legitimasi moral daripada setiap rakyat yang percaya bahawa kepentingan mereka, baik sebagai masyarakat atau sebagai individu, diwakili dan dipelihara dalam setiap undang-undang yang diluluskan. Tanpa legitimasi moral ini, undang-undang tidak akan dilihat adil di mata orang ramai dan kepatuhan terhadap undang-undang ini tidak akan datang secara sukarela tetapi hanya secara paksaan. Tambah mengkhilafkan lagi apabila undang-undang itu dikuatkuasakan secara terpilih dan hanya memangsakan orang kebanyakan.

Demikian kes Mohd  Shukri yang melihat undang-undang ha nya ditegakkan terhadap orang kecil seperti dirinya. Dalam hal ini, kita perlu persoalkan sama ada ketegasan yang tidak berbeza telah ditunjukkan di sempadansempadan negara kita di mana berjuta-juta kotak rokok melepasi dengan mudah sehingga membanjiri pasaran dalam negara. Kita juga perlu persoalkan sama ada sistem dan institusi keadilan memiliki keberanian yang sama untuk mendakwa kes-kes yang berprofil tinggi dan membabitkan kemungkaran yang jauh lebih besar dan membinasakan.

Hanya ada satu jalan untuk menyelamatkan lebih ramai orang seperti Mohd Shukri, iaitu dengan mengembalikan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang bagi memastikan setiap orang yang melakukan kesalahan akan mendapat pengadilan yang sama – equality before the law – sepertimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Peruncit-peruncit kecil yang menjual rokok seludup memang membawa kerugian dalam bentuk cukai kepada negara. Namun, hasil negara kita lebih banyak tiris bukan disebabkan oleh orang seperti Mohd Shukri tetapi kerana rasuah, penyelewengan dan salah urus yang kian berleluasa. Apakah kita hanya mampu bertindak terhadap Shukri Lahar Yooi tetapi tidak kepada individu lain?

Kematian Mohamed Bouazizi di Tunisia telah membuka mata dan hati jutaan rakyat yang tertindas. Ada yang mungkin tidak setuju dengan kaedah yang dipilihnya, tetapi semua pasti lebih tidak setuju dengan penganiayaan terhadap orang kecil yang dicerminkan dalam peristiwa tersebut. Saya percaya tiada sesiapa di sini yang mahu pengalaman yang sama berlaku di negara kita sehingga membawa kepada kudeta yang akhirnya menghancurkan fabrik sosio-politik masyarakat kita. Sebaliknya, apa-apa perubahan politik sewajarnya dilaksanakan melalui jalan demokrasi yang sah.

Oleh itu, sebagaimana Mohamed Bouazizi dari Sidi Bouzid membawa kesedaran kepada dunia Arab tentang ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di bawah rejim kuku besi, biarlah pengorbanan Mohd Shukri dari Lahar Yooi menjadi iktibar kepada setiap seorang daripada kita ahli dewan yang mulia ini, lagi-lagilah yang memegang amanah jawatan pentadbiran.

Saya yakin kita semua tidak mahu melihat seorang lagi pemuda mencabut nyawanya sendiri kerana kekecewaannya terhadap kegagalan negara untuk menjamin peluang kehidupan dan pelaksanaan undang-undang yang adil dan saksama. Dengan demikian, saya memohon agar kita menginsafi kegagalan kita untuk menjaga dan menegakkan amanah yang diberikan dan marilah kita sedekahkan bacaan ummul kitab, Al-Fatihah dan bertafakur atas pemergian Mohd Shukri – semoga Tuhan mengampuni dosa kita semua.