Kadar buang sampah per kapita penduduk Seberang Perai berkurang – YDP

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SUNGAI PUYU – Kadar pembuangan sampah per kapita penduduk Seberang Perai pada 2008 seberat 1.6 kilogram (kg) seorang tiap-tiap hari (1.6kg/orang/hari), berjaya dikurangkan menjadi 1.3kg/ orang/hari pada tahun 2015.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian pada Majlis Pelancaran Anugerah Komuniti Mampan 2016/2017.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu menyempurnakan majlis perasmian tahun keempat tersebut.

“Tujuan anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif hijau yang dijalankan oleh komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar dan kemampanan komuniti.

“Jumlah 40 markah yang diperuntukan untuk kriteria amalan sisa sifar merupakan yang tertinggi, berbanding 20 markah untuk tiga kriteria pemarkahan lain (iaitu) perancangan dan pengurusan, kebersihan dan kehijauan serta penglibatan komuniti,” katanya di Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Lalang di sini baru-baru ini.

Selain Boon Poh, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal dan Datuk Lee Tiong Lee (Pengurus Amphenol TCS Bukit Minyak merangkap Pengerusi Kelab Lion Bayan Baru) turut berucap pada majlis tersebut.

Tambah Maimunah, penganjuran kali pertama Anugerah Komuniti Mampan 2013 menerima penyertaan daripada lapan komuniti sahaja, bertambah 15 komuniti (2014) dan 18 komuniti (2015).

“MPSP berharap penganjuran kali keempat ini mendapat lebih sambutan daripada 30 komuniti, kalau lebih lagi elok,” ujarnya.

Selain itu, Maimunah memberitahu, MPSP melalui Dasar Pengasingan Sisa Di Punca berharap, kadar kitar semula di Seberang Perai dapat ditingkatkan mencecah 50 peratus menjelang tahun 2020.

Direkodkan, berat bahan kitar semula yang berjaya dikumpulkan oleh MPSP dalam tempoh 1 Jun hingga 22 Oktober lalu adalah sebanyak 166.9 tan.

Malah, tambah beliau, berat sampah dari Seberang Perai ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dalam tempoh bulan Januari hingga September lalu menunjukkan penurunan sebanyak 8,304.78 tan berbanding tempoh sama pada tahun 2015.

“Jumlah sampah yang dikutip bagi Januari hingga September 2015 adalah sebanyak 323,183.6 tan, manakala, bagi Januari hingga September 2016 adalah 314,878.82 tan,” jelasnya.