Serangan kutu beras di Taman Supreme dipercayai dari gudang syarikat beras berdekatan – David Marshel

Admin

PERAI – Sebuah gudang beras milik syarikat beras terkemuka negara di Taman Supreme, di sini dipercayai menjadi punca kepada serangan kutu beras atau nama saintifiknya Sitophilus oryzae yang dihadapi oleh sebahagian besar penduduk di kawasan taman berkenaan.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshel berkata, aduan berkaitan masalah itu telahpun dibuat kepada syarikat terbabit namun sehingga kini masalah itu masih gagal diatasi.

“Hampir kesemua rumah di kawasan taman ini diserang kutu beras terutama pada waktu malam dan masalah ini telah berlarutan sejak sekian lama.

“Walau bagaimanapun sejak setahun lalu masalah ini bertambah serius sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada penduduk terutamanya bagi kanak-kanak dan bayi.

“Oleh itu, kita gesa supaya syarikat beras terbabit mengmbil serius akan masalah ini dengan mengenal pasti kaedah yang paling berkesan untuk mengawal serangan kutu beras ini bermula dari kawasan kilang,” ujarnya pada sidang media dekat Jalan Tingkat Haruan 8, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Jason Raj dan beberapa penduduk setempat.

Mengulas lanjut kata David, masalah tersebut juga telah diadu kepada pihak MPSP dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk tindakan lanjut.

“Pihak Majlis serta JKNPP telah mengambil sampel kutu beras ini selepas menerima aduan daripada penduduk dan sekarang kita sedang tunggu laporan dikeluarkan.

“Jika didapati syarikat beras ini telah melanggar peraturan sehingga mendatangkan ancaman kepada penduduk berdekatan, kita sarankan pihak Majlis untuk mengenakan kompaun atau menarik lesen perniagaan mereka sekiranya masalah ini masih tidak diatasi,” tegasnya lagi.

 

Sementara itu, salah seorang penduduk, Amarjit Kaur, 54, ketika ditemui Buletin Mutiara berkata, serangan kutu beras telah mendatangkan kecederaan di bahagian mata cucunya yang berusia lima bulan.

“Serangga ini bersaiz kecil dan boleh merayap masuk ke dalam mata dan telinga yang boleh mendatangkan bahaya terutama kepada bayi.

“Jadi, saya berharap agar pihak berkuasa dan syarikat beras terbabit dapat bertindak secepat mungkin kerana masalah ini berlanjutan sejak sekian lama,” ujarnya yang telah menetap di kawasan taman berkenaan sejak 45 tahun lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : K. THAARSHENII