Serap GST kurang beban rakyat, bukan ‘populis’

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menyerap Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) bagi tahun ini, yang masing-masing dianggarkan sebanyak RM15,641,007 dan RM5,822,996.19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah tersebut serupa dengan amalan Kerajaan Negeri Johor dan Terengganu, serta bukanlah tindakan yang “populis” seperti yang dituduh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

“Pulau Pinang dan Johor akan menyerap GST bagi semua GST tiap-tiap tahun, manakala, Terengganu dalam tempoh tahun ini sahaja.

“Mengapa kita (Kerajaan Negeri) yang mahu mengurangkan beban (rakyat dengan menyerap kos GST ini) dikritik kononnya cuba mengambil tindakan populis, tetapi, mereka (Kerajaan Pusat) yang kenakan GST ke atas rakyat dikatakan sebagai hero.

“Saya rasa, Barisan Nasional bukan sahaja telah lupa daratan, tetapi telah hilang akal.

“Kalau tindakan (menyerap kos GST) di Pulau Pinang ini adalah populis, adakah beliau (Chang Yeow) akan turut mengkritik (Kerajaan Negeri) Terengganu dan Johor, yang juga mengambil tindakan populis seperti di negeri ini,” responsnya kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon turut menyertai sidang media itu. Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menyanggah kenyataan Chang Yeow yang mendakwa perbelanjaan mengurus berkaitan gaji dan lain-lain elaun bagi tahun 2015 tidak dikenakan GST.

Katanya, anggaran perbelanjaan mengurus untuk gaji bagi tahun 2015 berjumlah RM104.19 juta, manakala, RM53.87 juta adalah untuk perbelanjaan mengurus yang lain-lain seperti elaun tetap, elaun lebih masa, imbuhan dan sumbangan berkanun.

“Memang gaji dan elaun tidak dikenakan GST, tetapi, belanja mengurus bukan sahaja gaji dan elaun, (sebaliknya), perbelanjaan mengurus pun ada perkara-perkara yang lain seperti bekalan.

“RM730 juta (RM729,168,905) adalah untuk perbelanjaan lain, di mana semuanya akan dikenakan GST.

“Jangan kata kita (Kerajaan Negeri) salah kira, kita (Kerajaan Negeri) kira ikut apa yang ditetapkan oleh Kastam,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.

Tambah Guan Eng, pihaknya akan mengutus sekali lagi surat rasmi kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya GST dikecualikan ke atas perkhidmatan dan perolehan bagi Kerajaan Negeri dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.