Sesi pemeriksaan awam Projek LRT Bayan Lepas selesai, 97.7 peratus responden sokong

GEORGE TOWN – Seramai 22,678 responden atau 97.7 peratus yang menyertai sesi penyertaan awam bagi cadangan pelaksanaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas menyokong pelaksanaannya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, jumlah keseluruhan yang mengambil bahagian dalam sesi berkaitan sehingga 19 November 2019 (dari 19 Ogos lalu) ialah 23,218 responden.

“Sesi pemeriksaan awam yang berlangsung selama tiga bulan dan tamat pada 19 November baru-baru ini menyaksikan seramai 23,218 responden telah mengisi borang (maklum balas yang disediakan) oleh APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat).

Jumlah maklum balas yang menyokong adalah 22,678 (responden) atau 97.7 peratus, manakala (mereka) yang membantah pula adalah seramai 540 responden atau 2.30 peratus.

“Jadi, jumlah responden yang diterima ini adalah ‘pengukuran’ sokongan terhadap cadangan projek LRT (Bayan Lepas),” ujarnya pada sidang media di Komtar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Ditanya mengenai langkah seterusnya setelah selesai sesi pemeriksaan awam, Kon Yeow memaklumkan bahawa segala isu yang dibangkitkan akan diberikan keterangan dan penjelasan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri melalui rakan pelaksana projek, SRS Consourtium.

“Antara isu-isu yang dibangkit termasuklah lokasi jajaran, jarak stesen dan isu kesesakan lalu lintas semasa pelaksanaan projek…itulah pertimbangan lazim yang dikemukakan (oleh responden).

“Tidak semestinya mereka (responden) yang membantah ini tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan ini, sebaliknya mereka mempunyai pertimbangan tertentu seperti yang dinyatakan (dalam borang maklum balas),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Sebagai rekod, sesi pemeriksaan awam berhubung cadangan pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas berkaitan telah diadakan selama tiga bulan bermula 19 Ogos 2019 yang mana ia merupakan sebahagian syarat yang dikemukakan bersama-sama surat kelulusan oleh APAD.

Tujuan sesi pemeriksaan awam diadakan adalah bagi membolehkan pemegang taruh (stakeholder) dan orang ramai memberi pandangan terhadap cadangan pelaksanaan projek.

Seterusnya pihak pemohon iaitu Kerajaan Negeri perlu memberikan penjelasan mengenai isu yang dibangkitkan dalam borang maklum balas yang diterima.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN