Setia berkhidmat, 35 kakitangan dapat anugerah PBAPP

Admin
BARISAN penerima Anugerah Khidmat Setia PBAPP merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Ketua Menteri (depan, tengah) dan barisan Ahli Lembaga Pengarah agensi Kerajaan Negeri berkenaan dalam majlis berkaitan di sini pada 11 Ogos 2022.

SEBERANG JAYA – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meraikan 35 kakitangannya yang setia berkhidmat antara 20 hingga 35 tahun dengan agensi negeri itu, dalam satu majlis keraian di sini.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan menganjurkan majlis tersebut pada malam ini, diharapkan bukan sahaja sebagai simbol penghargaan kepada para penerima anugerah berkenaan sahaja, malah sekali gus dapat memperkukuhkan azam serta iltizam dalam kalangan kakitangan PBAPP yang lain demi meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan.

“Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat termasuk kepada 35 individu yang diraikan dalam majlis pada hari ini.

“Sesungguhnya pengiktirafan dan penghargaan anugerah yang diterima di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sejak tahun 1999 akan menjadi lebih manis dan bermakna sekiranya pencapaian yang paling penting PBAPP iaitu menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berterusan tanpa catuan air kepada pengguna domestic serta bukan domestik dapat dikendalikan dengan baik dengan tarif yang munasabah.

“(Justeru,) saya berharap semua kakitangan PBAPP dapat memperkukuhkan azam dan iltizam serta memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada setiap inisiatif dan program yang dirancang oleh pihak pengurusan PBAPP,” jelasnya yang juga Pengerusi Kumpulan Syarikat Perbadanan Bekalan Air (PBA) dalam majlis berkaitan pada 11 Ogos 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menyeru semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air negara secara lestari, selaras dengan tema Hari Air tahun ini iaitu ‘Groundwater, Making The Invisible Visible”.

IR. Jaseni Maidinsa

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa yang berucap sebelum itu memberitahu bahawa penyampaian anugerah kali ini adalah melibatkan 24 penerima bagi Kategori 20 Tahun, Kategori 25 Tahun (3) dan Kategori 35 tahun (8).

“Tiada penerima bagi Kategori 30 Tahun pada tahun ini (2022),” ujarnya.

KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Ir. Jaseni Maidinsa (kiri sekali) dan seorang lain menyampaikan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional kepada salah seorang penerima anugerah di sini tadi.

Di samping itu, Jaseni memberitahu bahawa para penerima bagi Kategori 20 Tahun menerima hadiah berupa Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional sebanyak RM1,000; RM1,500 bagi penerima Kategori 25 Tahun; RM2,000 bagi Kategori 30 Tahun; dan RM2,500 Bagi Kategori 35 Tahun.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy merupakan antara Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) dan PBAPP yang menyertai majlis penghargaan tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir Majlis Anugerah Khidmat Setia PBAPP diadakan adalah pada tahun 2019, iaitu sebelum negara dibelenggu dek pandemik COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD