Setiap insan dikurnia dengan bakat tersendiri – Exco

KEBUN BUNGA – Penganjuran SCI Penang Peace Run Ke-26 yang turut membabitkan golongan kurang upaya (OKU) adalah amat bermakna terutamanya dalam meningkatkan keazaman golongan berkaitan untuk berjaya dalam kehidupan masingmasing.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng ketika hadir merasmikan acara amal yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Service Civil International Penang Chapter (SCI Penang Chapter) di sini baru-baru ini.

“Saya ingin menyeru supaya setiap golongan OKU melihat kepada keistimewaan yang terdapat dalam diri sendiri agar ia lebih ‘menyerlah’ kerana saya percaya bahawa setiap insan dikurniakan dengan bakat yang tersendiri.

“Pada masa sama, program ini juga sejajar dengan Paradigma Pulau Pinang yang mana golongan minoriti adalah tidak dipinggirkan daripada penganjuran aktiviti sihat yang melibatkan mereka yang sempurna dari segi sifat fizikal.

“Malah, saya berpegang kepada kepercayaan bahawa sekiranya sesebuah negeri ingin maju dan muncul sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa, maka setiap warga negeri adalah perlu diberi peluang yang adil dan saksama,’’ ucap beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Presiden SCI Malaysia Penang Chapter, A. Athimulam dan Ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Pada penganjuran tersebut, kira-kira 300 peserta OKU mengambil bahagian daripada jumlah keseluruhan, 1,000 peserta.

Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan percuma, cabutan bertuah dan pertunjukan konsert.

if (document.currentScript) {