Kempen ‘Pedestrian is King of the Road’ didik pemandu peka

GEORGE TOWN – Bagi meningkatkan kesedaran umum terutamanya para pengguna jalan raya berhubung tanda isyarat lintasan pejalan kaki, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif meluluskan cadangan pelaksanaan Kempen ‘Pedestrian is King of the Road’ di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas MBPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, kempen tersebut adalah bertujuan mendidik para pemandu agar lebih peka dan memberi laluan kepada pelintas jalan di kawasan yang mempunyai lintasan berkaitan.

“Kempen ini adalah untuk menggalak dan mendidik para pemandu agar peka dan memberi laluan di kawasan yang mempunyai lintasan pejalan kaki.

“Mereka (para pengguna jalan raya) perlu mengutamakan pelintas jalan tanpa perlu menunggu lampu isyarat.

“Bagaimanapun, kempen ini tidak menggalakkan para pejalan kaki melintas jalan-jalan besar dengan kapasiti kenderaan yang tinggi yang secara tidak langsung mengundang bahaya kepada diri dan juga pemandu-pemandu lain,’’ katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Biasa Majlis MBPP di Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah Muhammad Bakhtiar, Majlis akan memperkenal dan mempromosikan kempen berkenaan di mediamedia massa seperti radio, surat khabar dan media sosial.

“ Sebagai tambahan, bagi melancarkan ia (kempen), MBPP akan melantik dan menggunakan khidmat syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang demikian.

“Kita akan lantik syarikat yang berkelayakan agar mereka dapat merancang dan menyusun strategi kempen,” ujarnya.

Pada perkembangan lain, Majlis turut melulus dan bersetuju dengan kenaikan kadar caj kompaun untuk kesalahan meletak kereta di luar petak sebanyak RM50 dengan pengurangan 50 peratus dalam tempoh 14 hari dari tarikh kesalahan. Tarikh kuatkuasa adalah pada 1 Oktober ini.

if (document.currentScript) {