Siap siaga hadapi kehadiran pelancong hujung minggu ini – Datuk Bandar MBPP

GEORGE TOWN – Lebih kurang 78 peratus atau 2,342 orang daripada keseluruhan 3,019 kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dikerah untuk bersiapsiaga susulan jangkaan Kerajaan Negeri bahawa kira-kira 50,000 pelancong domestik akan masuk ke Pulau Pinang terutamanya dalam tempoh 15 hingga 19 Oktober ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa pentadbirannya turut membekukan permohonan cuti serta membatalkan cuti rehat berkaitan yang telah diluluskan sebelum ini kepada kakitangan jabatan dalaman berkaitan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan termasuk Ketua-ketua Jabatan.

“Untuk kesiapsiagaan yang dibuat di sini antaranya membekukan cuti rehat melibatkan 78 peratus kakitangan MBPP termasuk Ketua-ketua Jabatan.

“Bagi yang mendapat cuti pula, cuti mereka telah dibatalkan selain diminta berada dalam keadaan kesiapsiagaan demi menjamin tahap keselamatan awam dan kebersihan persekitaran (di bahagian Pulau),” jelasnya dalam sesi telesidang bersama-sama wartawan di sini pada 13 Oktober 2021.

Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan kepulangan anak jati negeri serta pelancong ke Pulau Pinang sejak Putrajaya membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

“Kita (MBPP) mengalu-alukan kepulangan mereka (anak jati negeri), juga pelancong yang telah lengkap dua suntikan vaksin; diharap kepulangan mereka akan membantu pelan pemulihan semula ekonomi negeri.

“Semua mesti saling bertanggungjawab untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling dengan mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) berkaitan semasa pulang dan bergerak di negeri ini,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini masih ada tujuh kes aktif COVID-19 melibatkan kakitangan PBT berkenaan.

Terdahulu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dalam satu kenyataan kepada Buletin Mutiara pada 11 Oktober lepas antara lain memberitahu bahawa Pulau Pinang dijangka menerima kira-kira 50,000 pelancong pada hujung minggu ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB