Siapkan projek janji rakyat sebelum habis penggal PRU15, kata Ketua Menteri

Admin
456daba3 16ad 40c9 a193 7db90498b99c KETUA Menteri (tengah) bersama-sama barisan pemimpin lain menyempurna acara menggaul Yee Sang sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat KADUN Perai di Taman Chai Leng di sini pada 28 Februari 2026.

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semua projek yang dijanjikan kepada rakyat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai dapat disiapkan sebelum habis penggal pentadbiran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

e062bdff 0458 4cf9 8812 907aa04d39d5
KETUA Menteri

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat KADUN Perai di Taman Chai Leng dekat sini pada 28 Februari 2026.

“Saya mahu memastikan semasa saya sebagai Ketua Menteri, pasukan saya, Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri serta Persekutuan dan (kedua-dua) Majlis Bandaraya, dapat menunaikan segala janji yang kita buat (bersempena PRU15 lepas), supaya apabila menjelang pilihan raya yang akan datang, kebanyakan janji kita dapat ditunaikan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap sebelum itu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo menjelaskan status perkembangan beberapa projek di kawasannya, sebagai respons kepada ucapan Kon Yeow dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahli Parlimen Batu Kawan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon di sini pada tengah hari tadi (28 Februari 2026).

Beliau menyatakan bahawa seramai 177 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah ditawarkan secara percuma kepada penduduk asal Kampung Manis yang layak, malah ia kini dalam proses pelaksanaan serta menunggu tarikh YAB Perdana Menteri melancarkan projek pembangunan bercampur tersebut sahaja.

Selain itu, beliau turut menjelaskan status pelaksanaan projek pembinaan pusat penjaja baharu di kawasan lapang berhampiran Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, memandangkan ia turut dijanjikan kepada pengundi lokal di sini semasa kempen PRU15 pada bulan November 2022.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut sertai majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN