Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 desak Putrajaya segera gubal RUU Anti-Gangguan Seksual

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan didesak supaya segera membentangkan cadangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Gangguan Seksual di Parlimen agar wujud suatu akta khusus bagi menangani isu-isu berkaitan gangguan seksual di seluruh negara termasuk negeri Pulau Pinang.

Demikian cadangan usul yang dibentangkan oleh Perwakilan N15 Padang Lalang, Miriam Devaprasana Charles Samuel dalam Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 di Dewan Undangan Negeri di sini pada 4 Disember 2021.

Dalam persidangan yang dipengerusikan oleh Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang, Miriam Devaprasana menegaskan bahawa cadangan isu itu releven dibahaskan oleh sekalian 40 Perwakilan Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 berdasarkan Peraturan Mesyuarat 31(1).

“Walaupun terdapat akta yang melindungi rakyat daripada gangguan seksual seperti Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Kerja 1955 [Akta 265], namun, perlindungan dan skop yang diberi adalah sangat terhad.

“Negara Malaysia memerlukan reformasi, penguatkuasaan serta pelaksanaan undang-undang yang lebih rapi dan merangkumi skop yang lebih besar demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” jelasnya.

Memetik satu laporan media arus perdana, beliau memberitahu bahawa sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2018 hingga Ogos tahun ini.

Sehubungan itu, tegasnya lagi, gangguan seksual seharusnya ditarifkan semula selain mempercepat proses pengubalan dan pelaksanaan Akta Anti-Gangguan Seksual sebelum akhir tahun 2021 memandangkan ia adalah pencerobohan terhadap perlembagaan dan hak asasi manusia.

“(Kerajaan Persekutuan perlu) mengubal undang-undang khusus bagi jenayah gangguan seksual terutama yang berlaku di tempat awam dan melibatkan pesalah-pesalah yang tidak dikenali,” jelasnya lagi.

Perwakilan N18 Bukit Tambun, Jayanti Kandayah lalu bangkit menyokong usul Miriam Devaprasana itu.

“Walaupun pandemik COVID-19 melanda negara ini, kes gangguan seksual tidak berkurangan juga kalau berdasarkan rekod kes PDRM (Polis Diraja Malaysia)…jadi, saya menyokong usul tersebut,” kata Jayanti.

Perwakilan N.04 Permatang Berangan, Yeoh Lay Kim pula berpendapat bahawa pentakrifan gangguan seksual yang disyorkan Miriam Devaprasana mencakupi pada perbuatan secara fizikal semata-mata.

“Pada tarifan ini, dalam konteks fizikal; bagaimana andai gangguan secara dalam talian (tidak disebut dalam cadangan usul Miriam Devaprasana),” ujarnya kepada Choo Kiang.

Bagi Perwakilan N.09 Bagan Dalam, Shameera Nasreen Ahamed Noordeen berkata proses mencadangkan RUU ini di Dewan Rakyat sebelum ini mengambil masa yang begitu lama.

“Sehubungan itu, Kerajaan Pulau Pinang perlu mendesak Kerajaan Pusat supaya menyegerakan penggubalan undang-undang berkaitan anti gangguan seksual.

“Sekurang-kurangnya perlu ada sebuah tribunal khusus untuk mengendali kes-kes gangguan seksual,” tegasnya.

Sementara itu, Perwakilan N.27 Pengkalan Kota, Annsley Dashawna Stephen turut berpendapat mangsa lebih mudah mendapat keadilan hak sekiranya ada tribunal khas diwujudkan di bawah undang-undang anti gangguan seksual.

“Suatu masa dahulu, gangguan seksual hanya seringkali dialami oleh wanita sahaja, tetapi kini lelaki juga boleh jadi pemangsa atau mangsa gangguan seksual.

“Jadi, saya syor Kerajaan Persekutuan mesti didesak untuk mewujudkan tribunal khas serta mereformasi undang-undang yang ada demi membela mangsa gangguan seksual di negara ini,” sarannya sambil menyokong usul Miriam Devaprasana.

Semasa sesi penggulungan usul sama, Miriam Devaprasana mencadangkan desakan sama terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini demi membela nasib mangsa gangguan seksual di negari ini.

“Memandangkan ini simulasi, saya mencadangkan Kerajaan Negeri juga didesak untuk membuat tindakan susulan pada isu yang kita bincangkan ini,” kstanya sebelum proses undian usul dibuat oleh Choo Kiang.

Selepas kira-kira 35 minit sesi perbahasan, kesemua 40 Perwakilan Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 sebulat suara menyokong usul mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mereformasi serta menggubal Akta Anti-Gangguan Seksual.

Sebelum menangguhkan mesyuarat persidangan pada jam 6:00 petang tadi, Choo Kiang turut memberitahu bahawa pihaknya berhasrat untuk mengekalkan pameran dua banting Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 Edisi Kedua di bangunan DUN sebagai menghargai perjuangan bersama dalam isu kesaksamaan gender.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB