SEBERANG JAYA – Sidang Wanita Pulau Pinang yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2020 telah mengalami pelbagai penambahbaikan bagi memastikan acara itu sentiasa relevan untuk melahirkan pemimpin pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang 2025, Phee Syn Tze berkata langkah itu penting kerana Sidang Wanita telah menjadi platform berprestij untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita pada masa hadapan.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Petugas, saya berasa bangga melihat sidang wanita memasuki tahun keenam penganjuran pada tahun ini.
“Sidang ini bukan sekadar program tetapi sebuah platform berprestij untuk melatih, membimbing dan melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa yang mampu memimpin komuniti, negeri dan negara,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita 2025 dekat sini pada 20 September lalu.


Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng serta barisan Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita 2025, Dato’ Aida Yusof Rawa; Nurhidayah Che Rose dan Ameera Nadia Mohd Shafiee.
Syn Tze turut menyeru agar lebih ramai wanita tampil ke hadapan untuk menjadi pemimpin melalui platform politik demi mengubah hala tuju masyarakat dan membentuk masa depan yang lebih baik.
“Apabila wanita diperkasa, keluarga akan lebih bahagia dan apabila keluarga bahagia, komuniti juga menjadi lebih harmoni.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua agar lebih berani melangkah ke hadapan dan buktikan bahawa wanita juga mampu memimpin dengan integriti, berani dan mempunyai visi yang jelas,” serunya.
Sementara itu, Bee Leng berkata PWDC komiten untuk menjadikan Sidang Wanita sebagai sebuah pentas berprestij dalam melahirkan wanita yang berani tampil memimpin.
“Tahun ini, kita sekali lagi buktikan bahawa wanita Pulau Pinang tidak pernah takut untuk melangkah ke hadapan.
“Kita berbangga kerana Sidang Wanita mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui program Perantis, sekali gus membuktikan usaha kita bukan kerja kecil sebaliknya telah menjadi agenda nasional.
“Kita tidak akan berhenti di sini kerana PWDC akan berevolusi mengikut cabaran semasa kerana kita mahu memastikan wanita bukan sekadar bersedia tetapi juga benar-benar mampu mencorak dasar dan masa depan negara,” katanya.
Difahamkan, seramai 58 orang daripada 114 peserta yang mendaftar telah berjaya meloloskan diri ke Fasa Kedua Sidang Wanita Pulau Pinang pada tahun ini.
Hanya 40 peserta terbaik sahaja akan untuk bersidang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Bengkel selama dua hari tersebut menyediakan pelbagai mudol seperti pemahaman sistem demokrasi, latihan lapangan, perkongsian pengalaman wakil rakyat, latihan pengucapan awam, diskusi panel isu-isu wanita dan simulasi pilihan raya.
Pada sesi kali ini, Exco Pembagunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim tampil berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan beliau dalam bidang politik dengan Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi bertindak sebagai moderator.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS