Siew Khim harap Putrajaya perkukuhkan lagi sistem sokongan untuk wanita malang

Admin
LIM Siew Khim dalam sidang media di sini pada pagi tadi.

SUNGAI PINANG – Lebih 100 anggota dari tiga agensi persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Timur Laut, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Angkatan Pertahanan Awam Negara (APM) menyertai Program Gotong-Royong dan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Peringkat Komuniti Setempat di sini pada pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim ketika ditemui berkata bahawa pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat mengukuhkan lagi sistem sokongan sedia ada demi meningkatkan lagi kualiti hidup gender wanita negara, termasuk di negeri ini.

Menurutnya lagi, sistem sokongan yang dimaksudkan termasuklah terhadap remaja perempuan malang yang menghadapi masalah mengandung anak luar nikah, supaya tidak bertindak melakukan sesuatu yang tidak diingini.

“Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, insiden seorang pembantu kedai berusia 18 tahun, tergamak mencampak bayi perempuan dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Bayan Lepas, pada 13 Mei lalu, sangat menginsafkan saya.

“Negara telah ada pelbagai sistem sokongan, baik yang disediakan oleh Kementerian mahupun Kerajaan Negeri melalui PWDC (Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang), juga kempen kesedaran yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi insiden sebegini masih berlaku.

“Jadi, dengan rasa penuh keinsafan, saya nak minta Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Wanita (KPWKM) di Putrajaya, agar memperkukuh lagi sistem sokongan sedia agar kualiti gender wanita khususnya yang ada masalah-masalah sebegini, ada tempat bergantung dan tempat sokongan,” jelasnya kepada pemberita di sini pada 12 Julai 2020.

Mengulas lanjut, Siew Khim yang juga Ahli Lembaga Pengarah PWDC memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan menempatkan lebih ramai kaunselor bertauliah di kawasan-kawasan penempatan rumah pangsa yang begitu padat, seperti di beberapa lokaliti di Sungai Pinang, demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk.

“Sebenarnya ada macam-macam boleh dilakukan, dengan sokongan daripada Kerajaan Pusat, untuk memberi sokongan kepada gender-gender tertentu supaya tidak terjerumus dapat perkara yang tidak diingini.

“Sepatutnya, ini yang paling baik, tempatkan kaunselor bertauliah di blok rumah pangsa.

“Komuniti kita ada yang sangat tertekan, kalau ada kaunselor, mereka ada tempat sokongan, ia boleh membawa negara kita ke status negara membangun yang lebih baik dari segi impak sosial.

“Seperti sekarang, ketika COVID-19, rakyat, ada pelbagai masalah ekonomi seperti dibuang kerja dan sebagainya, sesi kaunseling di kawasan komuniti memang sangat diperlukan,” ujarnya yang juga Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana kawasan rumah pangsa di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang yang begitu padat dengan penduduk belum tersenarai sebagai lokaliti hotspot wabak denggi ataupun virus chikungunya semasa.

Terdahulu, Siew Khim meluangkan masa menyertai program gotong-royong berdekatan Jalan Hilir Sungai Pinang anjuran pelbagai agensi kerajaan bersama-sama Pasukan Tindak Balas Pertahanan Kecemasan Masyarakat (CDERT) Sungai Pinang.

Turut serta, Penghulu Parlimen Jelutong, Asri Ahmad; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti PDRM Daerah Timur Laut, Deputi Superintendan Chee Yin Kein; Ketua Unit 3 FRU Pulau Pinang, Sarjan Mohd. Kifli Nazri, Leftanan Muda APM Daerah, Ng In Hang; dan Timbalan Pengarah 2 Amal Relief Malaysia (ARIF) Pulau Pinang, Mohd. Faruk Abdul Rahman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS