Sifat supremacy mampu ancam keharmonian di Malaysia – Azrul

AZRUL Mahathir Aziz (berbaju ungu) ketika menunaikan solat ghaib jenazah sambil diimamkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar semalam.

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menasihatkan masyarakat untuk terus memelihara keharmonian agama dan bangsa di Pulau Pinang.

Jelasnya, menjaga keharmonian tersebut merupakan salah satu ajaran dan perkara yang dianjurkan oleh ajaran Nabi Muhammad S.A.W.

“Cubalah kita buang (negatif) tradisi orang-orang tua, buang sifat rasis warna kulit, Islam tidak ajar macam itu, itu baru ajaran Nabi dan point dakwah.

“Kita sepatutnya ambil contoh yang ditonjolkan oleh masyarakat di New Zealand, simpati mereka tidak mengenal batas warna kulit, agama dan latar belakang di sebalik peristiwa tembakan di dua buah masjid Jumaat lalu,” ujar beliau kepada kira-kira 500 orang hadirin yang hadir pada Majlis Sambutan Malam Cinta Rasul dekat Teluk Kumbar semalam.

Hadir sama, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar.

Dalam pada itu, Azrul juga menyelar tindakan sesetengah pihak yang menganjurkan demonstrasi atas nama Rasulullah S.A.W sebaliknya menggunakan platform tersebut untuk menghentam pihak lain.

“Apabila kita sayangkan Rasulullah S.A.W, lebih baik kita berhimpun secara aman macam malam ini, tidak perlu berhimpun, selepas itu gunakan sebagai wadah mengutuk menteri dan kerajaan dengan pelbagai tohmahan.

“Nabi kita tidak pernah pun ajar macam itu, selepas itu api-apikan pula semangat perkauman dan agama… sifat supremacy atau keulungan dan ketuanan yang melampau mampu mengancam keharmonian di Malaysia,” tegasnya.

Antara pengisian menarik pada program semalam termasuklah persembahan Silat Gayung, qasidah selawat serta solat jenazah ghaib bagi arwah adik Mohd. Haziq Tarmizi, 17, yang terkorban dalam peristiwa berdarah di masjid Christchurch Jumaat lepas.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD