Sumbangan kerusi belajar tambah keselesaan murid SK Jelutong

Admin
img 2022

SUNGAI PINANG– Para pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelutong kini dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa menerusi 35 buah kerusi belajar bernilai RM6,475 yang disampaikan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim.

Sumbangan tersebut diserahkan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di sekolah berkenaan tengah hari tadi sebagai usaha menyokong kebajikan serta meningkatkan keselesaan pelajar ketika mengikuti sesi pembelajaran.

“Penyediaan kemudahan pembelajaran yang selesa merupakan antara elemen penting dalam membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kepada para murid.

“Kita memahami bahawa persekitaran pembelajaran yang baik mampu memberi kesan positif terhadap fokus, keselesaan serta motivasi pelajar ketika menuntut ilmu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Hadi sama, Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Bahruddin Hashim; Guru Besar SK Jelutong, Muhammad Nizam Abdul Shukor dan para guru.

Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata, walaupun sumbangan itu mungkin tidak besar nilainya, namun inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar di kawasan Sungai Pinang.

“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pihak sekolah dan para pelajar.

“Setiap usaha yang dilakukan demi pendidikan anak-anak merupakan satu pelaburan besar untuk masa depan masyarakat dan negeri kita,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Siew Khim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik SK Jelutong atas dedikasi dan komitmen mereka dalam mendidik generasi muda.

Beliau berharap kerjasama erat antara pihak sekolah, komuniti setempat dan Kerajaan Negeri dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan serta pembangunan pendidikan anak-anak sentiasa diberi keutamaan.