Simpan bekalan air secukupnya untuk tempoh empat hari – PBAPP

aio 1888 K. Pathmanathan menunjukkan salah satu injap 1,200 mm dekat LRA Sungai Dua yang perlu diganti kerana mengalami kebocoran ketara.

SUNGAI DUA – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihati penduduk negeri ini supaya menyimpan bekalan air secukupnya sekurang-kurangnya bagi tempoh empat hari berikutan gangguan bekalan air berjadual yang akan bermula pada 10 hingga 14 Januari 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan menegaskan bahawa perkara itu penting untuk membantu proses pemulihan perkhidmatan bekalan air secara berperingkat yang dijangka mengambil masa antara 48 hingga 96 jam.

aio 1834
K. Pathmanathan ketika mengadakan sidang media dekat LRA Sungai Dua.

“Pemulihan yang disasarkan dalam tempoh 48 jam adalah melibatkan 197,025 pengguna di kebanyakan kawasan utama Seberang Perai atau 33 peratus daripada 590,000 jumlah pengguna yang dijangka terjejas termasuk di Butterworth dan Perai.

 

“Kami juga menyasarkan pemulihan dalam tempoh 72 jam bagi 495,065 pengguna terjejas (84 peratus) di kebanyakan kawasan utama di Pulau Pinang dan Seberang Perai termasuk George Town, Bayan Baru, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Selain itu, kami turut menyasarkan pemulihan dalam tempoh 96 jam untuk 99 peratus daripada semua pengguna yang terjejas manakala baki satu peratus lagi adalah melibatkan pengguna di hujung paip agihan (HPA) dan kawasan lebih tinggi.

“Oleh itu, kami meminta jasa baik pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya untuk tempoh empat hari bagi mempercepatkan pemulihan perkhidmatan bekalan air,” katanya pada sidang media dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dekat sini sebentar tadi.

aio 1894

img 8580
Kebocoran yang dikesan di dua injap 1,200 mm dekat LRA Sungai Dua.

Pathmanathan berkata, jangkaan pemulihan bekalan air PBAPP secara berperingkat adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk jarak pengguna dengan LRA Sungai Dua yang mana kawasan Seberang Perai bakal mendapat bekalan air lebih awal berbanding bahagian pulau.

“Lokasi kedudukan pengguna berhampiran dengan dengan infrastruktur bekalan air utama Pulau Pinang seperti kolam air terawat dan rumah pam di Batu Kawan, Bukit Minyak, Bukit Dumbar dan Bukit Gedung turut mempengaruhi kadar jangkaan pemulihan,” katanya.

Difahamkan, pemulihan perkhidmatan bekalan air pada hari pertama (12 Januari 2024) adalah melibatkan kawasan utama di Seberang Perai Utara (SPU) dan beberapa kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT).

Pengguna yang terjejas di beberapa lagi kawasan SPT dan lokasi-lokasi utama di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Daerah Timur Laut (DTL) dan sebahagian lokasi di Daerah Barat Daya (BDB) akan menerima bekalan air pada hari kedua (13 Januari 2024).

 

Sementara itu, beberapa kawasan di DBD seperti Jalan Permatang Damar Laut, Teluk tempoyak, Jalan Paya Terubong, Jalan Tengah, Sungai Ara, Jalan Ismail Hashim, pulau Betung, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Flat Lily, Bukit Penara dan Persiaran Mayang Pasir akan menrima bekalan air pada 14 Januari 2024.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat LRA Sungai Dua akan mengambil masa 24 jam kerana LRA Sungai Dua bergantung kepada beberapa sungai utama sejauh 14 kilometer (km).

“Proses penggantian mengambil masa agak panjang kerana sebelum menghentikan operasi di LRA Sungai Dua, PBAPP perlu hentikan aliran air di Lahar Tiang sejauh 14 km terlebih dahulu bagi mengelakkan risiko banjir kilat di beberapa kawasan berdekatan.

“Selepas kerja-kerja penggantian injap siap, kita perlu pam air dari Sungai Muda untuk memenuhkan semula Terusan Sungai Dua sebelum operasi rawatan air boleh dimulakan semula.

 

img 8584
Jadual pemulihan mengikut kawasan.

img 8583

“Apabila operasi dijalankan semula, kita perlu laksanakan secara berperingkat untuk memenuhkan loji rawatan sehingga mencapai 1,100 mililiter (ml) barulah air akan sampai kepada pengguna.

“Lebih penting lagi, sebelum bekalan air ini sampai kepada pengguna, kami perlu melakukan ujian terlebih dahulu bagi memastikan air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat untuk digunakan,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Pathmanathan turut menegaskan bahawa kerja-kerja pembaikan dua injap 1,200 mm dekat LRA Sungai Dua yang bocor terpaksa dilakukan bagi memastikan sumber bekalan air terawat di negeri ini kekal terjamin pada masa hadapan.

“Gangguan bekalan air berjadual pada Janurai 2024 adalah inisiatif yang mendesak kerana injap kawalan di LRA Sungai Dua bocor dengan ketara dan mesti digantikan tidak lama lagi.

“Injap ini mungkin pecah (meletup) atau menyebabkan kejadian paip pecah pada bila-bila masa termasuk pada tengah malam atau semasa perayaan besar dan boleh menyebabkan gangguan bekalan air mungkin lebih dari 96 jam.

“Jadi, adalah lebih baik untuk kami menggantikan injap ini daripada menunggu kemalangan berlaku sekali gus memberikan kesan yang lebih ketara kepada pengguna kelak,” ulasnya lagi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa PBAPP telah menulis surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mendapatkan bantuan tangka air.

“Kami akan cuba mendapatkan bantuan tangka air dari SPAN tetapi sebenarnya di Pulau Pinang kita sudah ada tangka yang mencukupi terutamanya daripada Pasukan bomba sukarela memandangkan mereka mampu bekalkan sehingga 35 buah lori.

“Selain itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga boleh bekalkan kira-kira 11 lori tangka,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR