Sinaran EMF pemancar telekomunikasi selamat, tidak jejaskan kesihatan – Zairil

PADANG KOTA – Kajian mendapati kesan electromagnetic field (EMF) oleh struktur pemancar telekomunikasi terhadap sistem biologi disahkan selamat.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari susulan bantahan aman di hadapan Dewan Sri Pinang oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pembinaan dua pemancar telekomunikasi dekat Tanjung Bunga dan Persiaran Karpal Singh di sini.

Zairil berkata, sepanjang 30 tahun sebanyak 24,000 kajian telah dibuat mengenai kesan EMF, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mendedahkan EMF daripada struktur pemancar menara telekomunikasi tidak menjejaskan kesihatan manusia.

“Fakta ini turut disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan bahawa tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan risiko radiasi terhadap kesihatan.

“Menurut Agensi Nuklear Malaysia pula, sinaran yang dikeluarkan oleh struktur pemancar telekomunikasi dikategorikan sebagai sinaran tidak mengion (non-ionizing ray).

“Dalam erti kata lain, sinaran ini bertenaga rendah dan tidak boleh menyebabkan pengionan (ionization) dalam badan manusia dan langsung tiada kaitan dengan sinaran radioaktif. Maka, ia adalah selamat dan mematuhi piawaian antarabangsa ICNIRP (International Committee on Non-Ionising Radiation Protection) dan WHO,” ujarnya dalam satu sidang media tengah hari tadi.

Hadir sama, Ketua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara, Rizal Abd. Malek dan Zainudin Yusof (Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kawal Selia Radiasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Mengulas lanjut berkenaan isu rundingan dengan penduduk kawasan yang terlibat, Zairil menjelaskan bahawa keperluan ini tidak terdapat dalam tatacara pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kategori pembinaan struktur pemancar telekomunikasi.

“Malah, MCMC berpendapat keperluan ini tidak diperlukan kerana struktur ini sepatutnya dianggap sebagai infrastruktur asas seperti tiang lampu atau lampu isyarat.

“Sebagai makluman, Garis Panduan Pembinaan Menara Telekomunikasi, Struktur Sistem Pemancar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan jarak minimum struktur dari bangunan terdekat bagi menara bawah daripada 45m (meter) tinggi adalah sejauh 20m,” jelas Zairil yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Sementara itu, Zainudin berkata, radiasi yang terhasil melalui frekuensi radio (RF) terlalu rendah dan tidak memberikan kesan kepada kesihatan manusia.

“RF adalah sumber dari non-ionizing ray yang mana tenaga dihasilkan itu terlalu rendah, malah apabila bertindak balas dengan air ia tidak menghasilkan gangguan, maknanya tidak ada elektron dikeluarkan dari orbit sistem atom tersebut.

“Oleh itu, sel-sel tubuh badan manusia tidak akan terjejas dan tidak akan berlaku perubahan terhadap sifat-sifat kimia dan tindak balas terhadap DNA, serta kesan sampingan,” jelasnya kepada pihak media.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS