Sistem Amaran Paras Air Kawalan Banjir MPSP johan!

Admin

SEBERANG JAYA – Sistem Amaran Paras Air Kawalan Banjir (SPARK) yang dicipta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dipilih sebagai johan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2018 baru-baru ini.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, MPSP membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dalam saingan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tersebut.

“Kalau sebelum ini, pekerja MPSP tidak dapat melakukan kerja lain apabila ada ramalan cuaca tertentu kerana terpaksa menunggu dan memantau paras air terutama di parit monsun.

“Tapi sekarang, kita (MPSP) boleh optimum tenaga kerja kita untuk kerja-kerja lain.

“Kerana, fungsi SPARK ini boleh mengesan paras ketinggian air melalui ultrasonic sensor dan menghantar maklumat melalui peranti GSM (sim card) ke server, server akan memproses data dan menghantar maklumat kenaikan paras air ini melalui SMS (sistem pesanan ringkas) kepada pegawai bertugas,” jelasnya dalam sidang media selepeas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis MPSP di Bandar Perda pada tengah hari 25 Julai 2018.

Menurutnya, SPARK merupakan cetusan idea Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmood ketika menjadi Pengarah Kejuruteraan MPSP pada tahun 2016.

Rozali memberitahu, setakat ini, empat SPARK telahpun dipasang berhampiran kilang Honeywell Aerospace, kilang Schott Glass, kawasan parkir motosikal kilang Toray dan Pos Kawalan Keselamatan MPSP Zon 1.

Menjawab soalan pemberita, beliau memberitahu, MPSP dalam tahun ini akan memasang SPARK di lapan lagi parit monsun, iaitu di Taman Wira, Taman Mangga, Taman Desa Damai, Taman Sri Rambai, Taman Chai Leng, Taman Bagan, Taman Transkrian dan Taman Merak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MPSP