Sistem e-Pilih tingkat kualiti dan integriti perkhidmatan MBSP

SEBERANG JAYA – Mengorak langkah ke arah era teknologi digital, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah membangunkan Sistem Perolehan Bersepadu (SPB) atau e-Pilih bagi memastikan pengurusan kerja yang lebih efisien dan berintegriti.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata bahawa inovasi tersebut bakal memberi manfaat kepada pihak urus setia bagi membantu MBSP memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

“e-Pilih merupakan penghasilan inovasi yang dapat meningkatkan kualiti, produktiviti dan keefisienan dalam aspek kerja terutamanya dalam proses pemilihan kontraktor dan ia dibangunkan menggunakan teknologi yang boleh diakses pada bila-bila masa.

“Pelaksanaan sistem ini sekali gus dapat mengurangkan monopoli kerja oleh sebahagian kontraktor,” katanya semasa semasa melancarkan sistem berkaitan sempena Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Turut hadir, WHIP Parti, Ahmad Rizal Abdul Hamid dan Muhamad Suzuki Ahmad; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Roslan Deraoh serta Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Tengah, Suridah Saadi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata bahawa fasa pertama Sistem e-Pilih adalah melibatkan Modul Perancangan dan Pemilihan Nama Syarikat yang dibangunkan pada 27 Januari 2022.

“Sistem ini melaksanakan pemilihan kontraktor melalui sistem dan memberikan cadangan senarai kontraktor mengikut pendaftaran dan pengkhususan yang ditetapkan di dalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kerja-kerja di bawah RM50,000.

“Sistem ini kini dalam proses pembangunan fasa kedua bagi menyediakan modul permohonan tender dan sebutharga dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD