Sistem parkir baharu kuatkuasa 1 Jan. 2014

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Tarikh pelaksanaan Sistem Letak Kereta Baharu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ditangguh ke 1 Januari 2014.

Perkara tersebut dinyatakan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam MPPP di sini baru- baru ini.

Terdahulu, pada majlis pelancarannya, sistem terbabit diumum dilaksana pada 5 November ini.

Bagaimanapun, siaran tersebut menyatakan bahawa keputusan terbaru tersebut diambil bagi memberi ruang dan masa kepada orang ramai supaya lebih bersedia ke atas perubahan berkenaan.

“Di samping itu, pihak Majlis juga ingin memastikan penjualan kupon yang bersifat mesra rakyat dan mudah diperoleh selaras dengan publisiti serta persediaan kepada sistem baru yang bakal dipergiat dan diperkemaskan.

“Malah, penangguhan tersebut juga dijangka dapat mengelakkan kekeliruan orang ramai terutamanya pengunjung dari luar Pulau Pinang pada cuti persekolahan kelak,’’ katanya di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulistas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam ucaptamanya pada Majlis Pelancaran Sistem Letak Kereta Baru di Dewan Perbandaran menyatakan bahawa MPPP kini menguruskan 11,000 petak parkir dan pada masa sama terpaksa menangani peningkatan 70,000 kenderaan sehari pada waktu puncak di sini.

“Kenderaan di sini semakin meningkat dan apabila masalah kesesakan jalan raya berlaku, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mengatasi masalah terbabit dalam jangka masa pendek dan sistem letak kereta yang lama menimbulkan masalah ekoran kekurangan tempat parkir sesuai,’’ jelas beliau.

Kon Yeow memberitahu, berkemungkinan sesetengah parkir di bahu jalan perlu dikaji semula kerana tindakan tersebut menyebabkan kesesakan teruk.

Jelasnya, melalui sistem baru, pengguna boleh mendapatkan kupon-kupon daripada wakil-wakil kedai terpilih berhampiran parkir dan dibeli mengikut jangka masa pengguna yang ingin meletakkan kenderaan masing-masing.

“Manakala, bagi sistem prabayar, pengguna perlu membeli alatan atau gajet khas dan butir-butir pemilik akan didaftarkan bagi tindakan susulan sekiranya perlu.

“Ia merupakan sistem pertama digunakan PBT dalam negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.