Sistem parkir secara pintar pertama negara, Penang Smart Parking bermula esok

GEORGE TOWN – Sistem tempat letak kereta secara pintar yang pertama di Malaysia, Penang Smart Parking akan memulakan operasinya esok, 19 Ogos 2019.

 

Sebanyak 647 petak tempat letak kereta di sekitar George Town dan 350 petak di Lorong Langsat serta Icon City di Seberang Perai terlibat dalam pelaksanaan fasa perintis berkaitan.

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pengenalan sistem parkir secara pintar tersebut sekaligus mampu menangani ketidakseragaman penggunaan kupon konvensional yang wujud antara bahagian pulau dan Seberang Perai sebelum ini.

 

“(Penggunaan kupon) yang tidak seragam antara bahagian pulau dengan Seberang Perai telah menimbulkan kesulitan bukan sahaja kepada orang tempatan, tetapi juga tetamu yang datang dari luar Pulau Pinang.

 

“Oleh itu, saya harapkan dengan pengenalan sistem parkir secara pintar ini, isu ketidakseragaman dapat ditangani dan memberi kemudahan kepada semua selaras dengan inisiatif pintar yang terkandung dalam Visi Penang2030,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar di Negeri Pulau Pinang Fasa Perintis dekat Gat Lebuh China di sini pagi ini.

 

JAJARAN tempat letak kereta di sepanjang Gat Lebuh China kini mempunyai sensor Penang Smart Parking.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Azhar Arshad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta barisan Ahli Majlis kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut sama dalam majlis tersebut.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa inisiatif pintar berkenaan bakal menjadi suatu model yang akan dicontohi PBT seluruh negara.

 

“Sebab itu, saya selalu tekankan bahawa pembangunan teknologi yang pesat masa kini memerlukan kita untuk berfikiran ke hadapan dan lebih jauh.

 

“Saya berharap inisiatif pintar ini akan memacu Pulau Pinang ke arah negeri pintar bertaraf antarabangsa dan dicontohi oleh lain-lain pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara,” ulasnya.

 

Dalam pada itu, Jagdeep dalam ucapannya memberitahu bahawa Penang Smart Parking adalah perkhidmatan berintegrasi melibatkan pengurusan serta operasi 36,000 petak tempat letak kereta seluruh Pulau Pinang.

 

“Bagi fasa perintis ini, bermula esok sehingga Disember 2019, sebanyak 997 petak tempat letak kereta milik MBPP dan MPSP akan mula beroperasi dan keseluruhan 36,000 petak tempat letak kereta akan dipasang sensor sepenuhnya menjelang Ogos 2020.

 

“(Dan) penambahbaikan sistem akan dibuat dari masa ke masa berdasarkan maklum balas pengguna dalam tempoh sehingga Disember 2019,” ujarnya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Abdul Halim Md Lassim ketika ditemui menyatakan bahawa ciri-ciri yang terdapat dalam sistem Penang Smart Parking berkaitan adalah selamat dengan  penggunaan teknologi terkini.

 

“Bagi fasa ini, pihak kami bersedia menerima maklum balas bukan sahaja daripada pengguna sistem, malah juga pihak berkepentingan lain bagi memastikan keseluruhan sistem tersebut dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

 

“Malah, pihak kami turut menyediakan beberapa saluran rasmi bagi membolehkan penyampaian serta penerimaan maklum balas mengenai pelaksanaan Penang Smart Parking ini sentiasa ditambah baik.

 

“Sebagai permulaan, orang ramai boleh mengimbas QR Code yang terdapat pada bunting, kain rentang atau risalah Penang Smart Parking bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan sistem ini,” jelasnya.

 

KOMPONEN dan ciri-ciri utama Penang Smart Parking.

Sistem tempat letak kereta secara pintar yang pertama seumpama di Malaysia menggunakan kombinasi teknologi sensor yang lengkap dengan sistem pandu arah carian petak parkir, bayaran tanpa tunai dengan transaksi mudah alih serta pemantauan dan analisis dalam talian secara menyeluruh.

 

Bagi 10,000 pengguna pertama yang menggunakan aplikasi Penang Smart Parking berkenaan akan menerima kredit bernilai RM5. Aplikasi boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play Store serta boleh digunakan mulai 19 Ogos 2019.

 

Sebarang maklum balas sila hubungi talian helpline 03 – 8026 8128 atau melalui portal http://psp.penang.my atau melalui Facebook Page : Penang Smart Parking.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI