Sistem tempahan kemudahan PSDKLPP kini secara dalam talian sahaja, kata Exco

Admin
SOON Lip Chee (kiri) bersama-sama Zul Kahar Khamis dalam sidang media promosi berkaitan di Bilik Media, Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada petang tadi.

BUKIT TAMBUN – Semua kemudahan di bawah seliaan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) seperti padang bola, bilik seminar, dewan serbaguna, kompleks sukan, kolam renang serta gelanggang pelbagai acara kini hanya boleh ditempah secara dalam talian sahaja.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mengumumkan perkara itu dalam sidang media promosi bersama-sama Pengarah Eksekutif PSDKLPP, Zul Kahar Khamis di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan di sini pagi tadi.

“Pada sidang media hari ini, PSDKLPP selangkah lagi ke hadapan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Mereka yang nak buat tempahan (fasiliti berkaitan), baru diminta untuk membuka akaun menerusi laman web www.psdklpp.gov.my.

“Bagi saya, sistem e-tempahan ini adalah selari dengan Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang meluluskan geran berjumlah RM146,280 kepada PSDKLPP bagi membiayai kos pembangunan dan operasi sistem e-tempahan tersebut.

Difahamkan, sistem e-tempahan fasiliti PSDKLPP tersebut dibangunkan oleh firma Tech Innovasi Sdn. Bhd. dengan tempoh kontrak beroperasi tamat pada 20 Mac 2023 atau selama 12 bulan.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Zul Kahar berkata bahawa pihaknya berharap agar dengan adanya sistem e-tempahan ini, isu malar segar seperti isu pertindihan tarikh tempahan satu-satu fasiliti tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

“Sistem tempahan ini untuk tempoh (awal) selama enam bulan daripada tarikh memohon sahaja, jika di luar tempoh itu, maka para pemohon mungkin boleh menulis surat kepada kami (PSDKLPP) untuk proses lanjut,” jelasnya lagi.

Beliau turut memberitahu bahawa sistem e-tempahan tersebut dalam tempoh percubaan pelancaran bermulai 1 hingga 25 April 2022 dan direkodkan menerima 264 tempahan yang melibatkan transkasi sebanyak RM30,940.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS