SJKC Min Sin kukuhkan reputasi, cipta hatrik kejuaraan pertandingan kawad kaki peringkat DTL

Admin
img 20260702 wa0060

AIR ITAM – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pasukan kawad kaki terbaik apabila mencipta hatrik kejuaraan dalam Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Peringkat Daerah Timur Laut (DTL).

Dalam pertandingan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam semalam, SJKC Min Sin menyapu bersih gelaran juara bagi keempat-empat kategori sekolah rendah yang dipertandingkan.

Bagi kategori Pasukan Badan Beruniform Sekolah Rendah (PBBSR) Puteri, SJKC Min Sin muncul juara, mengatasi Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist yang meraih naib johan, manakala SJKC Hun Bin di tempat ketiga.

Kecemerlangan sekolah itu diteruskan apabila turut menjuarai kategori PBBSR Putera, Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Puteri dan TKRS Putera.

Lebih membanggakan, SJKC Min Sin turut merangkul anugerah Ketua Platun Terbaik bagi kategori PBBSR Puteri, PBBSR Putera dan TKRS Putera, manakala anugerah Ketua Platun Terbaik bagi kategori TKRS Puteri menjadi milik SJKC Kwang Hwa.

img 20260702 wa0064img 20260702 wa0067img 20260702 wa0056img 20260702 wa0058

 

Jurulatih pasukan kawad kaki sekolah, Ang Aik Fung meluahkan rasa bangga atas kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan yang disifatkan sebagai hasil usaha gigih serta komitmen semua pihak.

Beliau berkata, kemenangan tersebut menjadi kebanggaan buat seluruh warga sekolah apabila pasukan SJKC Min Sin berjaya muncul juara bagi semua kategori yang dipertandingkan.

“Sebagai seorang guru, saya amat berbangga kerana segala usaha dan latihan yang dilalui oleh murid-murid akhirnya membuahkan hasil.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pasukan kami sepanjang persiapan menghadapi pertandingan.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa yang tidak pernah jemu memberi sokongan, malah ada yang sanggup meluangkan masa dan tenaga bagi membantu melancarkan urusan pasukan sepanjang pertandingan.

“Kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerjasama erat antara pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa,” katanya ketika ditemui.

img 20260702 wa0053
Ang Aik Fung.

 

 

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Kejohanan Kawad Kaki Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 14 Julai ini, Aik Fung berkata, pasukannya akan terus memperkemaskan latihan bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik.

“Persaingan di peringkat negeri sememangnya lebih mencabar kerana menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik.

“Namun, kami akan memberikan yang terbaik dengan harapan dapat sekali lagi mengharumkan nama SJKC Min Sin serta daerah Timur Laut,” katanya.

img 20260702 wa0081img 20260702 wa0078

Sementara itu, pertandingan tersebut menyaksikan persaingan sengit antara Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Cina dan SMJK Ching Ling apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi dua kategori sekolah menengah.

SMJK Perempuan Cina unggul dalam kategori Agensi Bukan Kerajaan (NGO) Puteri dan Agensi Kerajaan (GO) Puteri manakala SMJK Chung Ling pula tampil cemerlang bagi NGO Putera dan GO Putera.

Dalam pada itu, SMJK Phor Tay dan Sekolah turut menampilkan persembahan meyakinkan apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori Kelab Remaja Sekolah (KRS) puteri, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul muncul sebagai johan kategori KRS Putera.

Senarai penuh pemenang mengikut kategori adalah seperti berikut:-
PBBSR Puteri
Johan – SJKC Min Sin
Naib johan – SK Perempuan Methodist
Tempat ketiga – SJKC Hun Bin
Ketua platun terbaik – SJKC Min Sin

PBBSR Putera
Johan – SJKC Min Sin
Naib johan – SJKC Hun Bin
Tempat ketiga – SJKC Shang Wu
Ketua platun terbaik – SJKC Min Sin

TKRS Puteri
Johan – SJKC Min Sin
Naib johan – SJKC Kwang Hwa
Tempat ketiga – SJKC Moh Gee Pusat
Ketua platun terbaik – SJKC Kwang Hwa

TKRS Putera
Johan – SJKC Min Sin
Naib johan – SJKC Kwang Hwa
Tempat ketiga – SJKC Union
Ketua platun terbaik – SJKC Min Sin

NGO Puteri
Johan – SMJK Perempuan Cina
Naib johan – SMJK Phor Tay
Ketua platun terbaik – SMJK Perempuan Cina

NGO Putera
Johan – SMJK Chung Ling
Naib johan – SM Chung Ling Persendirian
Tempat ketiga – SMJK Phor Tay
Ketua platun terbaik – SMJK Chung Ling

GO Puteri
Johan – SMJK Perempuan Cina
Naib johan – Sekolah Mengengah (SM) Chung Ling Persendirian
Tempat ketiga – SMK (Perempuan) Sri Mutiara
Ketua platun terbaik – SM Chung Ling Persendirian

GO Putera
Johan – SMJK Chung Ling
Naib johan – SM Chung Ling Persendirian
Tempat ketiga – SMJK Phor Tay
Ketua platun terbaik – SMJK Chung Ling

KRS Puteri
Johan – SMJK Phor Tay
Naib johan – SMK Bukit Jambul
Tempat ketiga – SMJK Perempuan Cina
Ketua platun terbaik – SMJK Phor Tay

KRS Putera
Johan – SMK Bukit Jambul
Naib Johan – SMJK Phor Tay
Tempat ketiga – SMJK Heng Ee
Ketua platun terbaik – SMK Bukit Jambul

 

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: LAW SUUN TING & ALISSALA THIAN

img 20260702 wa0061img 20260702 wa0054img 20260702 wa0087img 20260702 wa0075img 20260702 wa0052img 20260702 wa0066